Thailand sekat hajat Malaysia ke final Piala Srikandi Merdeka

IMPIAN skuad bawah 16 tahun (B-16) negara untuk mara ke final Piala Srikandi Merdeka 2026 di Indonesia tidak kesampaian setelah tumpas 1-5 kepada Thailand hari ini.

Dalam saingan yang berlangsung di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia itu, skuad Gajah Putih terlebih dahulu di depan selepas pemain Malaysia Sofia Lacasse tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ketujuh.

Malang terus menimpa skuad negara apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Nisriena Batrissya dilayangkan kad merah pada minit ke-16.

Kekurangan seorang pemain bagaimanapun tidak mematahkan semangat Malaysia yang bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Nina Hasmaji pada minit ke-40 untuk memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menuju waktu rehat.

Memasuki babak kedua, Thailand kembali di hadapan menerusi gol Kawinda Kikuntod pada minit ke-51 sebelum Kanokporn Wanthong menambah dua lagi jaringan pada minit ke-64 dan ke-73.

Pemain Thailand Zuzana Kordem melengkapkan kemenangan 5-1 lima minit sebelum tamat permainan, sekali gus mara ke final.

Malaysia mara ke separuh akhir selepas membelasah Arab Saudi 9-0 untuk menamatkan saingan Kumpulan A selaku naib juara dengan penyerang pasukan negara Lim You mencuri tumpuan apabila meledak tujuh gol pada aksi berkenaan.

Scroll to Top