am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kerajaan negeri akan membuat semakan semula Rancangan Selangor Kedua (RS-2) selepas dua tahun pelaksanaannya dalam memastikan dokumen perancangan pembangunan negeri itu kekal relevan selaras perkembangan semasa.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata proses semakan itu antaranya akan memasukkan dapatan terbaru, perubahan struktur, pertambahan program dan projek.
“Dokumen ini bersifat fleksibel, maknanya dalam dua tahun lagi kita akan membuat semakan (review). Semakan juga akan memasukkan dapatan terbaru, termasuk perubahan struktur dan pertambahan program serta projek yang kita boleh gariskan sebagaimana pengalaman kita dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Selepas meneliti kejayaan RS-1, kita belajar juga ada beberapa perkara yang harus kita betulkan antaranya mempercepatkan kerangka pemantauan, melaksanakan dengan segera perancangan projek di peringkat bawah, dan pembiayaan terhadap projek berkenaan yang sebelum ini tidak ada dalam Rancangan Selangor Pertama.
“Sekarang ini kita tengah ‘negotiate’ (berunding) dengan beberapa institusi kewangan supaya boleh menjadi pemudah cara untuk pembiayaan terhadap projek-projek yang akan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta barisan EXCO kerajaan negeri.
Majlis berkenaan turut dihadiri editor agensi media termasuk Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Zulkifli Jalil.
Beliau berkata setelah RS-1 tamat, sebanyak 79 peratus daripada segala ikhtiar berjaya dicapai dan berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan dan baki selebihnya diteruskan dalam RS-2 antaranya merangkumi projek bawah Sabak Bernam Development Area (SABDA) serta Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
Amirudin berkata, Rancangan Selangor (RS) boleh diangkat sebagai model pembangunan untuk serantau kerana pendekatan adalah berbeza Rancangan Malaysia dan lebih berfokus kepada rancangan di peringkat syarikat berkaitan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta daerah.
Enam misi RS-2 adalah Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor; Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah; Negeri Penyayang dan Berdaya Huni; Modal Insan Produktif dan Inklusif; Negeri Lestari Berdaya Tahan dan Strategik serta Kerajaan Efektif, Mesra Rakyat dan Perniagaan.
RS-2 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor 7 Ogos lalu, turut menggariskan lima sektor yang akan menjadi tumpuan ke arah 2030 iaitu bidang elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd

