KANGAR – Cicak tokay hitam (Gekko cf. dam) setakat ini hanya direkodkan di Perlis sebagai satu-satunya lokasi di Malaysia, sekali gus menjadikannya antara penemuan menarik dalam Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bukit Papan dan sebahagian Hutan Simpan Kurong Batang (Selatan), Kuala Perlis, dekat sini.
Ketua Penyelidik ekspedisi itu, Dr Razak Terhem daripada Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, spesies itu bukan endemik Perlis, kerana turut mempunyai taburan di luar Malaysia termasuk Thailand, berdasarkan rumusan dapatan awal dibentangkan penyelidik sepanjang ekspedisi berkenaan.
“Berdasarkan data, setakat ini di Malaysia cicak tokay hitam ini hanya direkodkan di Perlis. Selain itu, berdasarkan data ekspedisi dan kajian Jabatan Perhutanan Perlis, kita percaya Perlis kawasan taburan paling selatan bagi spesies ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup ekspedisi itu hari ini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar Perlis Megat Hashirat Hassan.
Razak berkata, penemuan itu mengukuhkan kepentingan Perlis sebagai kawasan biodiversiti unik dalam landskap Banjaran Nakawan yang dipengaruhi perbezaan iklim, formasi batu kapur dan ekosistem hutan yang membentuk habitat tersendiri.
Beliau berkata, ekspedisi itu turut menemukan satu spesies orkid yang berpotensi sebagai spesies baharu dan kini dalam proses dokumentasi serta pengesahan pakar.
“Empat spesies halia turut direkodkan termasuk satu spesies yang ditemukan kembali dalam keadaan berbunga selepas kali terakhir direkodkan berbunga pada 2001.
“Selepas lebih 20 tahun, kita menemukan semula spesies ini dalam keadaan berbunga. Penemuan ini menunjukkan masih banyak khazanah biodiversiti Perlis yang memerlukan pemantauan dan penyelidikan secara berkala,” katanya.
Ekspedisi yang berlangsung dari 16 Ogos itu menghimpunkan 105 ahli penyelidik daripada institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang berkaitan biodiversiti, ekologi dan pengurusan sumber hutan.
Sepanjang ekspedisi itu, kira-kira 16 spesies mamalia, 60 burung, 70 kupu-kupu dan 25 herpetofauna termasuk ular, katak serta cicak direkodkan selain flora merangkumi 28 spesies tumbuhan berkayu, 18 orkid, 20 paku pakis serta 150 tumbuhan pemanjat dan menjalar.
Bagi kulat pula, lebih 120 penemuan direkodkan dan kira-kira 33 daripadanya merupakan rekod baharu di Perlis, namun jumlah itu perlu dimurnikan bagi memastikan tiada pertindihan spesies. – Bernama