firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas lima musim berturut-turut beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry kini mencuri perhatian apabila secara tiba-tiba bergelar pemain naturalisasi dan tidak lagi dikategorikan sebagai pemain import.
Perubahan status pemain pertahanan kelahiran Australia itu dikesan menerusi senarai pemain JDT menjelang aksi Piala Sumbangsih menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Nama Lowry kini disenaraikan sebagai pemain tempatan, sekali gus mencetuskan tanda tanya sama ada pemain berusia 37 tahun itu sudah memperoleh kewarganegaraan Malaysia selepas melengkapkan tempoh lima musim bersama JDT.
Perkembangan itu cukup mengejutkan kerana Lowry sebelum ini sentiasa berada dalam kategori pemain import sepanjang tempoh kariernya bersama Harimau Selatan.
Malah, status baharunya itu secara tidak langsung membuka peluang buat Lowry untuk menjadi antara pilihan baharu memperkuatkan Harimau Malaya sekiranya dia memenuhi segala syarat kelayakan ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Lowry mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila pernah mewakili Ireland di peringkat remaja sebelum memilih Australia di peringkat senior.
Bagaimanapun, dia tidak pernah membuat penampilan kompetitif bersama skuad senior Australia, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan pemain itu boleh menjadi pilihan Malaysia di pentas antarabangsa.
Perubahan status Lowry itu turut menyaksikan dia mengikuti jejak Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo yang sebelum ini dilaporkan bakal melalui proses naturalisasi.
Bergson, penyerang kelahiran Brazil, sudah lama menjadi antara tonggak penting JDT dan turut menunjukkan kesediaan untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya proses naturalisasinya selesai.
Hidalgo pula pemain kelahiran Argentina yang sudah beberapa musim beraksi dalam kancah bola sepak tempatan sebelum menyertai JDT.
Kedua-dua pemain itu sebelum ini sememangnya sudah dikaitkan dengan proses mendapatkan status naturalisasi bagi membolehkan mereka menjadi pilihan skuad kebangsaan.
Namun, kemunculan Lowry sebagai pemain naturalisasi pastinya lebih mengejutkan kerana perkembangan mengenai statusnya tidak begitu mendapat perhatian sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
