SHAH ALAM – Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30) yang bakal dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pahang tidak lama lagi menyasarkan pencapaian ekonomi RM100 bilion menjelang 2030.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, ketika ini ekonomi negeri berada pada paras RM71 bilion berdasarkan ukuran terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu, PET30 memfokuskan sekurang-kurangnya lima sektor bernilai tinggi, antaranya bahan termaju seperti grafena, litium dan gentian karbon menerusi pembukaan kilang, selain ekopelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, automotif, pembangunan di sekitar Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta tenaga boleh diperbaharui.
“Ini adalah sektor tumpuan kerajaan negeri Pahang dan disebabkan Pekan, Pahang ini bandar automotif, kita nak tengok juga boleh tak kita tarik pelaburan syarikat kenderaan autonomi (AV) ke dalam Pahang.
“Kalau kita boleh tarik pelaburan sedemikian dan bina ekosistem, ia sangat baik untuk Pahang sebab kita ada asas itu.
“Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) juga sedang membuat kajian mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Rakyat yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim, di Dewan Karangkraf pada Jumaat.
Program berlangsung pada jam 8.30 malam dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.
AKAN MENYUSUL