TAPAH – MIC menyifatkan tindakan pemimpin DAP menyerang parti itu bukan sesuatu yang luar biasa biarpun mereka parti yang bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, serangan yang dibuat DAP itu sudah lama berlaku iaitu sejak parti gabungan Pakatan Harapan (PH) itu ditubuhkan.
“Saya tidak terkejut kalau DAP tiba-tiba serang MIC, saya boleh respon. Ini sejak mereka tubuhkan parti sampai sekarang, itulah modal politik mereka.
“Tak payah komen. Biar, itu memang kalau dia tidak hentam MIC, dia bukan DAP,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baharu kepada keluarga Orang Asli di Batu 9, Jalan Pahang di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai situasi DAP yang kini berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN), Saravanan berkata, pendirian parti itu terhadap MIC tidak berubah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membandingkan MCA dan MIC dengan DAP.
Dalam kenyataan media pada Sabtu, Zhemin mendakwa Abdul Hadi secara terbuka menetapkan syarat bahawa mana-mana parti yang bekerjasama dengan Pas tidak boleh menentang dasar parti berkenaan.
Menurut pemimpin DAP itu, MCA dan MIC perlu menjelaskan sama ada mereka bersedia menentang Pas sekiranya hak Perlembagaan dipertaruhkan, walaupun tindakan itu boleh menyebabkan kerjasama politik berakhir.
Sebelum ini, Abdul Hadi pada 21 Ogos dilaporkan berkata kerjasama politik Pas dengan mana-mana parti tertakluk kepada syarat bahawa rakan kerjasama tidak boleh menentang dasar Pas.
Dalam perkembangan sama, Saravanan berkata, sokongan masyarakat Melayu terhadap calon MIC juga dilihat semakin meningkat berdasarkan keputusan pilihan raya di beberapa kawasan termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Johor.
Menurutnya, kemenangan calon MIC di kawasan berkenaan yang sebelum ini tidak pernah dimenangi parti itu menunjukkan perkembangan positif terhadap sokongan masyarakat Melayu.
“Kita tengok Johor dan kawasan seperti Perling, kita tidak pernah menang dan kita tidak sangka kita boleh menang, kita masih menang.
“Ini menunjukkan sokongan orang Melayu juga terhadap calon MIC meningkat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menganggap masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada perkembangan itu akan diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sementara itu, Saravanan berkata, masyarakat Orang Asli di Parlimen Tapah kekal memberikan sokongan kepada BN berikutan hubungan dua hala yang dibina sejak sekian lama.
Katanya, kesetiaan berkenaan bukan sesuatu yang boleh diharapkan secara sebelah pihak, sebaliknya perlu disertai usaha berterusan dalam menjaga kebajikan masyarakat berkenaan.
“Saya tahu setakat Parlimen Tapah mereka memang setia. Kesetiaan ini dua hala, bukan jangan harap Orang Asli nak setia dengan kita tetapi kita tidak setia dengan mereka.
“Di Parlimen Tapah, kesetiaan dua hala. Setiap kali ada peruntukan atau permintaan, seberapa banyak pun kita cuba menampung permintaan mereka,” katanya.
Menurutnya, kekangan peruntukan menyebabkan tidak semua permintaan dapat dipenuhi namun tetap akan berusaha mendapatkan sumber tambahan bagi membantu masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.