15 pemain KL City diserang influenza, aksi bertemu Negeri Sembilan ditangguh

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perlawanan Unifi Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang ini tidak dapat dilangsungkan selepas hampir separuh pemain KL City disahkan mengalami influenza.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan rasmi daripada KL City berhubung keadaan kesihatan pemain dan pegawai pasukan.

Menurut MFL, seramai 15 pemain dan dua pegawai KL City mengalami simptom demam, batuk, selesema dan cirit-birit berdasarkan surat laporan perubatan yang dikemukakan kepada badan pengelola Liga Malaysia itu.

“Kelab berkenaan turut memaklumkan kesemua pemain dan pegawai terbabit akan dirujuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata kenyataan MFL.

Langkah itu diambil kerana penyakit berkenaan mudah merebak selain memerlukan tempoh pemulihan sebelum pemain dan pegawai terbabit boleh kembali menjalankan aktiviti seperti biasa.

Selepas menilai permohonan serta keadaan yang dihadapi KL City, MFL memutuskan perlawanan berkenaan tidak dapat dilangsungkan bagi memastikan kebajikan dan kesihatan pemain serta pegawai kedua-dua pasukan diberikan keutamaan.

Perlawanan itu sebelum ini dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Bagaimanapun, MFL belum memutuskan status perlawanan berkenaan termasuk tarikh baharu untuk aksi terbabit.

Pada masa sama, MFL berkata perkara itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk keputusan mengenai status perlawanan dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top