Kuala Lumpur: Penyanyi kelahiran Sabah, Ryenald Guntabid masih menimbang cadangan berpindah ke ibu negara demi memudahkan urusan dan perancangan karier muziknya.
Penyanyi berusia 30 tahun itu berkata, biarpun biasa berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur atas urusan kerja, dia masih belum dapat membayangkan kehidupan di ibu kota secara sepenuh masa.
Bagaimanapun, Ryenald mengakui hasrat untuk menetap di ibu negara hampir pasti selepas meraih kejayaan dalam arus muzik perdana termasuk pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40, baru-baru ini.
“Buat masa sekarang. saya tidak dapat bayangkan berada di Kuala Lumpur secara sepenuh masa. Tetapi, saya fikir, selepas ini sudah menjadi 89.71 peratus pasti.
“Tinggal peratusan selebihnya atau hal-hal lain sahaja yang akan menentukan sama ada saya berpindah ke Kuala Lumpur atau tidak,” katanya ketika ditemui sebaik AJL 40 melabuhkan tirainya, baru-baru ini.
Ditanya mengapa masih menimbang keputusan berpindah ke ibu negara, Ryenald berkata, dia melihat keberadaannya di Sabah penting bagi menjadi contoh kepada bakat muda yang sedang berusaha membina kerjaya dalam bidang muzik.
“Di Sabah sekarang mungkin memerlukan seorang contoh yang berada di sana. Kita ada Marsha Milan dan Stacy Anam yang sudah lama berada di sini (Kuala Lumpur) dan mereka dari Sabah.
“Tetapi, saya fikir, saya perlu lebih dekat di Sabah supaya ramai lagi bakat muda dan baharu boleh terdorong untuk terus berkarya,” katanya apabila lagu Lumangad Oku Dika nyanyian dan ciptaannya meraih tempat ketiga pada AJL40, baru-baru ini.
Sebelum ini, Ryenald mencipta kejutan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24, tahun lalu, di mana lagu Lumangad Oku Dika memenangi dua kategori, iaitu Artis Baharu Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd
