Johor tamat penantian emas bola sepak SUKMA

PETALING JAYA: Johor akhirnya menamatkan penantian berdekad-dekad untuk meraih pingat emas pertama acara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) selepas menewaskan tuan rumah Selangor 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final dramatik di Stadium MBPJ, malam ini.

Dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 selepas 120 minit, Johor tampil lebih tenang ketika penentuan penalti sekali gus menafikan impian Selangor untuk meraikan kejuaraan di laman sendiri, di hadapan hampir 11,000 penyokong.

Pertembungan dua kuasa bola sepak itu berlangsung sengit sejak wisel pertama dengan Johor kendalian Pedro Collado Celda, yang diperkuatkan beberapa tonggak JDT IV, terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-20.

Daniesh Amirruddin mencetuskan kejutan buat penyokong tuan rumah apabila melepaskan rembatan jarak jauh yang cukup deras sehingga penjaga gol Selangor, Farish Farhan Zalani, gagal menghalang bola daripada menerjah gawang.

Selangor bagaimanapun bangkit dengan pantas dan memperoleh sepakan penalti pada minit ke-28 selepas Ahmad Lutfi Hadi Sahabudin menjatuhkan Haykal Danish Haizon di dalam kotak penalti.

Haykal tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakan sepakan dari jarak 12 ela pada minit ke-30 untuk menghidupkan kembali sorakan penyokong tuan rumah dan mengikat kedudukan 1-1.

Ketegangan semakin memuncak pada penghujung waktu sebenar apabila satu terjahan keras di tepi padang mencetuskan kekecohan membabitkan pemain serta pegawai kedua-dua pasukan sebelum keadaan kembali terkawal.

Aksi penuh fizikal itu berlanjutan ke masa tambahan dan Johor terpaksa berdepan detik cemas apabila penyerangnya, Danish Hakimi Sahaludin, mengalami kecederaan selepas perlanggaran ngeri pada minit ke-100 sebelum diusung keluar padang dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal mencipta jaringan kemenangan dalam baki masa tambahan, sekali gus memaksa penentuan juara dilakukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Johor, Danial Idraqi Asmir, kemudian muncul wira apabila berjaya menyelamatkan sepakan Hafifi Muhtadee Billah Zailani dan Zarul Aidil Mokhtar untuk meletakkan Johor di ambang sejarah.

Daniesh Amirruddin, Arayyan Hakeem Norizam dan Izzuddin Afif Nazarudin masing-masing menyempurnakan sepakan buat Johor sebelum Naim Zainudin menyudahkan sepakan penalti keempat bagi mengesahkan kemenangan bersejarah 4-2.

Kejayaan itu sekali gus menghadiahkan Johor pingat emas pertama bola sepak lelaki SUKMA selepas penantian panjang, manakala Selangor terpaksa berpuas hati dengan perak di laman sendiri.

Sementara itu, Perak meraih pingat gangsa selepas membelasah Pahang 4-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Shah Alam.-UTUSAN

Scroll to Top