Selangor bergaya buka tirai Liga Super

KOTA BHARU: Selangor FC menepati ramalan membenam Kelantan Red Warrior FC (KRW FC)  4-1 dalam perlawanan Liga Super 2026/2027 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.

Jurang kualiti dan pengalaman di pentas elit arena bola sepak tempatan jelas terlihat apabila skuad kendalian Kim Pangon itu mendominasi perlawanan sejak dari sepak mula dan beberapa kali menduga gawang tuan rumah.

Situasi berkenaan menyaksikan anak didik Irfan Bakti Abu Salim dipaksa untuk lebih banyak bertahan sambil mencari peluang untuk melancarkan serangan balas ke kubu pelawat.

Skuad Gergasi Merah membuka jaringan melalui tandukan Chigor Moraes yang tepat menerjah gawang tuan rumah pada minit ke-17 selepas menerima hantaran lambung rakan sepasukannya.

Keghairahan menggempur kubu lawan menyebabkan pertahanan KRW FC longgar dan membolehkan Mohamad Faisal Abdul Halim menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-27 Ketika hanya berdepan penjaga gawang tuan rumah, Amin Faisal Mohd. Saidi.

Selangor terus menunjukkan penguasaan melalui beberapa serangan ke arah gawang tuan rumah dan berterusan menafikan peluang bagi KRW FC merapatkan jurang jaringan, menyaksikan kedudukan kekal 0-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Selangor meneruskan dominasi pada babak kedua dan menambah derita tuan rumah apabila gerakan lincah Mohamad Faisal ke dalam kawasan berbahaya gagal disekat sekali gus  menghasilkan gol ketiga pelawat pada minit ke-49.

Ketinggalan tiga gol, KRW FC menggandakan usaha dan memperoleh gol saguhati melalui jaringan Philip Dandada Musa pada minit ke-60.

Gergasi Merah terus ‘mengganas’ dan kembali melebarkan jurang jaringan melalui tandukan Moraes pada minit ke-75 untuk memuktamadkan kemenangan bergaya mereka sekali gus membawa pulang tiga mata pertama. – UTUSAN

Scroll to Top