razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid, khususnya berkaitan Borang Aku Janji di bawah Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2026, perlu diperjelaskan dan ditambah baik supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan guru dan pihak pengurusan sekolah.
Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohamad Zapawi Mamat berkata, terdapat keperluan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penjelasan yang lebih terperinci berhubung penggunaan perkataan ‘wajib’ dalam SPI Bilangan 4 Tahun 2026.
Katanya, dokumen rasmi itu menggunakan istilah ‘wajib,’ sedangkan dalam sesi libat urus pada 14 Ogos 2026, dijelaskan bahawa tandatangan Aku Janji tidak membawa implikasi tindakan tatatertib dan lebih kepada tanda solidariti serta kebersamaan.
“Perbezaan antara kandungan dokumen rasmi dengan penerangan yang diberikan dalam sesi libat urus tidak seharusnya dibiarkan kerana boleh menyebabkan tafsiran yang berbeza di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Penjelasan secara lisan sahaja tidak memadai. Satu penjelasan rasmi secara bertulis, jelas dan seragam perlu dikeluarkan supaya semua guru memahami dengan tepat kedudukan Borang Aku Janji berkenaan termasuk implikasi sekiranya seseorang guru tidak menandatanganinya,” katanya.
Sehubungan itu, KONGRES sudah mengemukakan memorandum kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada 21 Ogos lalu bagi menyatakan pandangan serta cadangan berhubung pelaksanaan polisi itu.
Beliau berkata, KONGRES menyokong Polisi Perlindungan Murid yang dikeluarkan KPM demi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa terpelihara.
“Guru tidak pernah menolak tanggungjawab untuk memastikan murid berada dalam persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan bebas daripada penderaan, gangguan, eksploitasi, buli serta pengabaian.
“Bagaimanapun sesuatu dasar hanya akan mencapai matlamatnya sekiranya arahan yang dikeluarkan jelas, dokumen yang digunakan konsisten, komunikasi disampaikan secara seragam dan peranan setiap pihak diperincikan dengan baik.
“KONGRES tidak mahu guru berada dalam keadaan dilema atau terpaksa membuat tafsiran sendiri terhadap sesuatu dasar yang boleh membawa implikasi terhadap tugas profesional mereka.
“Apa yang dituntut oleh KONGRES ialah kejelasan, keadilan dan perlindungan yang sewajarnya kepada semua pihak,” katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya percaya bahawa melindungi murid adalah asas kepada pembentukan ekosistem pendidikan yang selamat, profesional dan berintegriti.
“Pada masa yang sama, perlindungan murid dan perlindungan guru tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan, sebaliknya perlu bergerak seiring.
“KONGRES menghargai kesediaan KPM menerima pandangan warga pendidik dan berharap isu ini dapat diselesaikan melalui pendekatan dialog, semakan dasar dan penyelarasan pelaksanaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

