NOVEL adalah rakaman satu wacana dalam kehidupan. Seawal huruf atau perkataan pertama, sehinggalah perkataan atau huruf terakhir, novel mengisikan atau pun memerihalkan sebuah pemikiran tertentu yang dipilih pengarang. Pemilihan yang dibuat tentulah amat selektif.
Pengarang yang kreatif akan menilai dahulu idea atau tema (pemikiran) sebelum diangkat ke dalam karya.

Dalam novel juga boleh dikatakan termuat satu segmen pengalaman, satu tempuh kehidupan, dan mungkin sekali tentang satu penemuan dari sebuah pencarian, dan sebagainya lagi.
Novel dicipta untuk tatapan para pembaca , sama ada ia untuk tujuan menghiburkan, untuk tujuan perkongsian ilmu dan pengalaman, untuk tujuan sekadar satu pemaparan, ataupun menggagaskan sesuatu hasrat dan perjuangan.
Penciptaannya bergantung kepada keupayaan yang ada pada pengarang; kecil atau besar muatan tema dan ceritanya, kekuatan bahasa yang digunakannya, serta citarasa susastera yang ada pada dirinya.
Selain bermatlamat untuk menjayakan hasrat yang ditetapkannya, pengarang mungkin sekali memikirkan kumpulan sasarannya.
Dalam waktu yang sama, pengarang tentu sekali akan mempertahankan aspek estetik karya juga.
Karya boleh jadi sebuah garapan tentang sekelumit pengalaman percintaan sebagai contoh, segugus ideologi, atau satu himpunan peristiwa kehidupan, tentulah digarap dengan sebaik yang mungkin.
Estetik boleh sahaja dipertahankan dari segi kekuatan pemikiran yang terkandung di dalam karya, bahasa mahu pun unsur-unsur budaya, etika dan seumpamanya yang dipertahankan. Maka lahirlah larya.
Novel Phensi, sebuah karya menarik, membawa pemikiran ketabahan hati seorang gadis buta bernama Phensi yang meminati kesenian menora, serta bercita- cita mempelajari dan mencaburi bidang ini dengan serius.
Akan tetapi, Phensi terpaksa menempuhi berbagai-bagai cabaran dalam mencapai impiannya. Phensi seorang anak angkat kepada Mak Su (Subin) dan Pak Wan (Tawan) yang tinggal di Kampung Sungai.
Phensi, ketika masih sunti ditinggalkan oleh ibunya di sebuah pasar pagi tempat Mak Su berniaga sayur-sayuran. Ibunya terlibat dengan kemalangan jalan raya lalu tidak datang mengambil Phensi.
Mak Su dan Pak Wan menjaga Phensi seperti anak sendiri sehingga besar. Mak Su mengajarnya tentang adab dan budaya kehidupan masyarakat Siam.
Minat Phensi terawal menghadapi rintangan apabila keinginannya ditolak guru menora, Chau Dam (Lung Dam) kerana kurang upaya oleh matanya yang buta.
Dia begitu kecewa lalu meminta Mak Su mengajar tarian menora kepadanya.

Mak Su bekas pemain menora. Pada mulanya, Mak Su agak keberatan juga kerana keadaan Phensi tersebut. Bagaimanapun, Mak Su akhirnya memilih mengajarnya.
Mak Su tidak menduga bahawa Phensi begitu cepat mempelajari tarian yang diajarkan. Tarian Phensi begitu cantik. Jiran-jiran turut kagum melihat anak angkat Mak Su menari.
Sangkaan mereka sebelum ini bahawa Mak Su membuang masa mengajar orang buta menari ternyata meleset.
Kegagalan membuat persembahan tatkala majlis menyambut pembesar negara yang akan membuat lawatan ke Kampung Sungai begitu mengecewakannya.
Phensi sangat sedih. Mak Su pula terasa terhina oleh tuduhan Chau Dam, seorang tokoh setempat yang menolak penyertaan Phensi hanya kerana dikatakan tarian Phensi tidak cukup baik. Chau Dam anak murid kepada bapa Mak Su.
Mak Su membawa Phensi ke Phatthlung (Thailand), berjumpa dengan guru menora terkenal.
Phensi diterima sebagai murid oleh guru tersebut dan diberikan tunjuk ajar tentang tarian menora. Setelah balik ke Kampung Sungai, Mak Su menubuhkan kumpulan menora bagi Phensi dan kawan-kawannya.
Murid-murid Chau Dam turut menyertai kumpulan menora Phensi yang diberikan nama (29) Kumpulan Kinnari. Mereka berjaya membuat beberapa persembahan tarian menora di sekitar daerah.
Konflik menimpa lagi, kali ini sewaktu hendak membuat perancangan untuk persembahan tarian menora di Kuala Lumpur, Phensi dirundung masalah.
Ibunya tidak semena-mena muncul dan membawanya balik. Ibu kandungnya mahu Phensi meninggalkan kesenian menora dan mendirikan rumah tangga dengan pemuda pilihannya.
Phensi menolaknya kerana dia sangat sayang kepada kumpulan menoranya.
Phensi dibawa lari oleh ibunya dan disembunyikan di rumah kawannya.
Bapa kandung (Nirut), yang baru keluar daripada penjara menyelamatkan Phensi.
Bapanya mahu Phensi meneruskan cita-citanya menjadi penari menora. Ibu Phensi jatuh sakit lalu meninggal dunia di hospital. Phensi kembali ke pangkuan Mak Su dan Pak Wan.
Phensi kembali kepada cita-citanya. Semakin hari Kumpulan Kinnari semakin dikenali. Begitu juga dengan Phensi. Pensi umumnya menjadi gambaran tipikal sosio budaya masyarakat Siam, dengan ragam permasalahan hidup yang boleh dikira seringkali ditemukan di mana-mana.
Cukup menghayati denyut nadi masyarakatnya, Phensi dihasilkan seorang pengarang keturunan Thai, kelahiran Kelantan, Prasert Eh Chai. Sekali imbas, watak Phensi dikatakan membungkus seluruh novel ini.
Ertinya, semuanya berpusat kepada watak ini. Ia bermula seawal remaja itu ‘ditinggalkan’ ibunya di sebuah pasar pagi atau pasar awam, ditakdirkan sampai di gerai Mak Su, seorang penjual sayur yang kemudian membawanya pulang, menjadikannya anak angkat.
Novel ini berakhir dengan kejayaan Phensi selaku penari menora dalam Kumpulan Kinnari pimpinan Mak Su yang melakukan persembahan besar di Kuala Lumpur.
Phensi OKU penglihatan, mata terbuka, biasa. Fizikalnya digambarkan sebagai tinggi, kurus, dan berdagu bujur. Ditinggalkan ibu di pasar.
Ibunya menghilang (diketahui kemudiannya terlibat dalam kemalangan) dan terpaksa ikut Mak Su pulang. Saat pengakuan ‘emak-anak’ yang mengharukan.”Bolehkah kamu panggil Mak Su, mak?” “Dan panggil Pak Wan, pak?”
Banyak kepercayaan yang masih terpacak kukuh dalam kehidupan mereka.
Antaranya, percaya kepada kehidupan hayat terdahulu.
Masyarakat ini sangat percaya kepada karma, bacalah dan hayati banyak dialog Phensi tentang karma.
Bagaimana dosa dalam hayat terdahalu menerima akibatnya dalam hayat kini (sekarang). Aktiviti di wat (kuil Buddha) mencerminkan corak anutan agama masyarakat Thai yang taat. Banyak kegiatan kehidupan berpaksikan sami dan ketua sami di kuil. Phra Khru memulihkan seorang perempuan yang kena rasuk oleh hantu jalanan (hlm.152-153). Bahkan, dalam latihan kaki Phensi terseliuh, tak sembuh lalu dipanggil bomoh Pak Leh dan Chau Khong.
Bomoh terjumpa tulang dari kampung lain ditanam. Phensi pulih. Kepercayaan kepada roh nenek moyang (hlm.192).
Mereka juga kuat mempercayai jika hendak memulakan sesuatu, cari hari baik masa yang baik. Amalan bernazar juga masih berlaku, contoh buat pulut kuning kemudian di bawa ke wat (hlm. 351).
Budaya seumpama corak pemakaian, pemakanan, riadah, pergaulan, kesenian, amalan hidup, warisan, pergaulan, dan praktis adat menjadikan masyarakat Thai sebuah masyarakat yang harmoni, kukuh penyatuannya dan
sentiasa bergerak ke hadapan dalam mencapai kemajuan.
Budaya dan adat diwarisi dari generasi ke generasi. Nilai-nilai murni, misalnya bekerjasama, bergotong-royong, saling menghormati, bantu-membantu, keharmonian, kerajinan, cekal, tabah dan sebagainya sangat ditekankan.
Penggunaan kata “gemulah” – arwah atau Allahyarham bagi orang Islam, bukan mendiang.
Peribahasa: Kutip kutu bubuh kepala sendiri (hlm.23). Kunyah pinang, hisap rokok daun menjadi budaya hidup seharian.
Hanya kemudian apabila muncul gejala penyalahgunaan dadah, mulalah muncul kegiatan merempit, perjudian yang menggoncang sedikit kestabilan masyarakat. Kemuncaknya Phra Khru, iaitu ketua sami pun dirompak serta dibunuh.
Ugutan atau amaran bekas suami kepada isteri Chau Dam, menampakkan sikap kasar ahli menasyarat, contohnya: “Sekiranya Chau Dam mengabaikan isterinya dia
bersumpah atas nama anak jantan akan mengambil darah Chau Dam mencuci kakinya (hlm. 404) –UTUSAN
Datuk Dr. Lim Swee Tin ialah sasterawan dan budayawan terkenal tanah air.
