Jadual pameran DAK di Zoo Tennoji cetus persoalan kebajikan

Jadual pameran DAK di Zoo Tennoji cetus persoalan kebajikan

SHAH ALAM – Jadual pameran tiga ekor gajah Asia Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, yang berlangsung sehingga 12 jam sehari mencetuskan persoalan serius mengenai aspek kebajikan dan keperluan rehat haiwan berkenaan.

Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan) bersama Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) NGO dan NGI mempersoalkan kesesuaian jadual pameran yang menurut maklumat di laman web Zoo Tennoji, berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 8 malam setiap Jumaat hingga Ahad, bermula Ogos hingga Oktober 2026.

Shelter Ihsan berkata, tempoh pameran yang panjang dan berulang itu wajar dinilai bukan sahaja dari aspek kesesuaian persekitaran, malah kesannya terhadap kebajikan, tekanan, keperluan rehat serta tingkah laku semula jadi DAK.

“Gajah bukan bahan pameran yang boleh dinilai berdasarkan jumlah pengunjung atau tempoh ia berada di hadapan orang ramai.

“Jika benar penghantaran DAK ke Jepun dibuat atas nama konservasi, kebajikan dan kepentingan gajah mesti menjadi keutamaan, bukan aktiviti pameran,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jadual pameran DAK di Zoo Tennoji cetus persoalan kebajikan

Gambar dari pengunjung yang mendakwa jadual pameran tiga ekor gajah Asia Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 8 malam setiap Jumaat hingga Ahad, bermula Ogos hingga Oktober 2026.

Menurutnya, kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 29 April lalu bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan khazanah alam negara perlu diterjemahkan kepada tindakan.

Malah, menteri berkenaan sebelum ini turut menyatakan sekiranya matlamat perjanjian tidak dipenuhi dan kebajikan DAK tidak terjamin, Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) wajar membawa pulang ketiga-tiga gajah terbabit ke Malaysia.

Sehubungan itu, Shelter Ihsan bersama pertubuhan terbabit menuntut supaya pendirian berkenaan dilaksanakan sekiranya hasil penilaian mendapati kebajikan DAK tidak terjamin.

“Jika kebajikan DAK sememangnya tidak terjamin, proses membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat perlu dimulakan tanpa berlengah,” katanya.

Dalam pada itu, Shelter Ihsan berkata, pihaknya turut menantikan keputusan dan perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu penghantaran DAK ke Jepun.

Katanya, sekiranya siasatan mendapati berlaku kesalahan, kecuaian atau kelemahan dari aspek tatakelola, proses membuat keputusan atau pengurusan penghantaran DAK, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab tertakluk kepada hasil siasatan dan proses undang-undang.

“Ini bukan soal mencari salah sesiapa, tetapi soal amanah terhadap khazanah negara.

“DAK adalah milik Malaysia. Mereka bukan sekadar tiga ekor gajah di sebuah zoo luar negara, sebaliknya membawa nama dan warisan hidupan liar negara kita,” katanya.

Shelter Ihsan turut menggesa agar kebajikan DAK diberi keutamaan dan menyeru supaya ketiga-tiga gajah itu dibawa pulang sekiranya aspek kebajikan tidak dapat dijamin.

Scroll to Top