Kuala Lumpur: Lama sebelum dikenali sebagai pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad menimba pengalaman dunia seni di belakang tabir.
Sherry pernah bertugas sebagai pembantu busana bagi pementasan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang (PGL) di Istana Budaya (IB) hampir dua dekad lalu.
Pengalaman itu menjadi antara titik awal perjalanan seni Sherry atau nama penuh, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 42.
Ketika itu, dia bertanggungjawab memastikan busana pelakon utama seperti Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk AC Mizal dan Stephen Rahman Hughes sentiasa kemas sepanjang pementasan.
“Kalau hendak ikutkan sejarah, pada pementasan PGL di IB pada 2003 dan 2005, saya bekerja sebagai pembantu ‘wardrobe’. Saya yang jaga baju Tiara, AC Mizal dan Stephen Rahman ketika itu.
“Bukan sahaja di IB, saya mengikut rombongan produksi sebagai pembantu ‘wardrobe’ sehingga ke pementasan di Esplanade, Singapura,” katanya kepada BH Online.
Bertahun-tahun kemudian, pengalaman bekerja di belakang tabir itu menjadi kenangan manis buat Sherry apabila dia berpeluang berkongsi semula kisah dengan barisan pelakon yang pernah dijaga selepas dirinya bergelar selebriti.
“Apabila saya sudah masuk dalam industri seni dan berpeluang bersembang dengan Tiara, saya kongsi perkara itu kepadanya dan dia sangat terkejut.
“Sama juga dengan AC, saya beritahu dia saya pernah jaga baju-baju dia dahulu. Apabila dikenang balik, memang seronok. Apa-apa pun perwatakan saya dari dahulu sampai sekarang sama sahaja, tetap ceria,” katanya.
Daripada bertugas sebagai kru, Sherry kemudian melangkah ke hadapan pentas dan berjinak-jinak dengan dunia lakonan teater pada 2006.
Namun, perjalanan untuk membina nama dan meyakinkan khalayak terhadap bakatnya bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata.
“Saya bina nama dalam industri seni untuk orang terima bakat saya dalam tempoh lama. Saya bukan masuk dengan pakej lengkap atau rupa paras yang konvensional.
“Sebab itu saya sangat menjaga reputasi dan bakat kerana saya mahu orang percaya kepada apa yang saya mampu berikan di atas pentas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
