Serangan udara ke atas biara ragut 14 nyawa warga emas

YANGON: Seramai 14 orang terbunuh dalam serangan udara tentera ke atas sebuah biara di Myanmar pada awal Jumaat, menurut pejuang pembangkang dan seorang petugas penyelamat tempatan.

Petugas penyelamat itu memberitahu BBC Burmese, semua mangsa yang terbunuh merupakan warga emas, manakala beberapa sami turut cedera. Menurutnya, lokasi berkenaan diserang sebanyak dua kali.

Serangan berlaku kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan) di perbandaran Myaung di wilayah Sagaing, tengah Myanmar, kira-kira 70 kilometer di barat Mandalay, lapor agensi berita AFP.

Orang awam dilaporkan berkumpul di lokasi berkenaan untuk menyertai program meditasi sempena sambutan Lent Buddha. Tentera Myanmar belum memberikan sebarang komen berhubung serangan itu.

Pejuang pro-demokrasi, Nway Oo Myaung memberitahu AFP, mangsa terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita.

Lima mangsa dilaporkan berasal dari sebuah kampung, manakala sembilan lagi dari perbandaran berhampiran.

“Warga lebih tua telah memasuki pusat meditasi,” katanya sambil memaklumkan mangsa yang terbunuh berusia antara 50 hingga 70 tahun.

Seorang lagi pejuang pembangkang yang enggan dinamakan berkata, dia turut membantu mencari mangsa yang terselamat selepas serangan pertama.

“Ketika kami cuba menyelamatkan orang, pesawat itu datang untuk melakukan serangan bom kali kedua,” katanya.

Tentera Myanmar sering dituduh melakukan serangan terhadap bangunan awam, namun sebelum ini menegaskan pihaknya hanya menyasarkan sasaran yang sah.

Scroll to Top