2 rumah, 4 kenderaan terbakar, tindakan pantas Bomba selamatkan 70 lagi kediaman

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 70 rumah daripada turut terbakar dalam kebakaran di Kampung Inanam Laut, Inanam, malam ini.

Kebakaran itu memusnahkan dua rumah separuh kekal, tiga bilik sewa dan tiga kenderaan, manakala sebuah lagi kereta terbakar kira-kira 10 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.23 malam sebelum jentera tiba enam minit kemudian.

Menurutnya, seramai 45 anggota daripada BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang terbabit dalam operasi berkenaan.

“Rumah pertama berkeluasan kira-kira 335 meter persegi, manakala rumah kedua seluas kira-kira 242 meter persegi musnah sepenuhnya.

“Tiga bilik sewa tidak kekal yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 21 meter persegi turut musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebuah Perodua Kancil serta dua motosikal jenis Yamaha Y16 dan Honda EX5 turut musnah, manakala Perodua Kenari terbakar kira-kira 10 peratus.

Menurutnya, seorang mangsa mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan tiga pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada jentera, lori tangki dan sungai berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 8.19 malam dan tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 70 rumah di kawasan berhampiran daripada turut terjejas.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top