PRN Melaka: Abdul Hadi sahkan rundingan PN-BN sudah bermula

MELAKA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan rundingan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dimulakan sejak tiga hari lalu.

Abdul Hadi berkata, perbincangan berkenaan membabitkan wakil pimpinan pusat yang dilantik daripada kedua-dua parti.

Menurutnya, walaupun rundingan itu masih di peringkat awal, perkembangan setakat ini menunjukkan tanda positif.

“Persiapan daripada peringkat parti sudah pun bermula dan sedang berjalan, akan disambung perbincangan ini ke peringkat seterusnya.

“Pilihan raya pula tak tahu bila etapi kita dah bincang untuk kerjasama,” katanya ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Negeri Melaka di sebuah hotel di sini pada malam Ahad.

Turut hadir Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Naib Presiden Pas serta Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara BN dan PN dapat direalisasikan, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk ditentukan.

“Itu masih peringkat awal tapi peringkat awal pun telah menunjukkan prestasi yang sangat baik.

“Progres perbincangan, alhamdulillah sangat positif. Kita mengambil semangat daripada apa yang berjaya di Johor dan di Negeri Sembilan,” katanya.

Sabtu lalu Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu perbincangan PN dan BN semakin hampir mencapai persefahaman untuk bekerjasama menghadapi PRN Melaka akan datang.

Takiyuddin memberitahu perbincangan awal antara kedua-dua pihak menerima maklum balas yang baik daripada BN, namun bentuk kerjasama termasuk pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.

 

 

Scroll to Top