Trump berang tarif balas Kanada 

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membidas Kanada selepas Perdana Menterinya, Mark Carney mengumumkan tarif balas terhadap Washington susulan kegagalan rundingan perdagangan antara kedua-dua negara.

Carney mengesahkan beliau akan membalas tarif AS secara setimpal ‘dolar demi dolar’ bermula 8 September dengan industri keluli, produk tenusu, peralatan rumah dan barangan elektronik AS antara yang menjadi sasaran.

“Kanada mahu menikmati faedah menjadi sebuah negeri, tanpa menjadi sebahagian daripadanya! Mereka juga telah mengenakan tarif yang tinggi terhadap petani hebat kita selama bertahun-tahun. Kini tidak lagi!,” kata Trump dalam satu hantaran di Truth Social semalam.

Sementara itu, tarif baharu AS sebanyak 50 peratus yang menjejaskan barangan bernilai kira-kira AS$20 bilion (RM80.77 bilion), atau 5.5 peratus daripada eksport Kanada ke AS, mula berkuat kuasa pada Sabtu.

Kedua-dua negara pada awalnya optimis untuk mencapai kesepakatan pada awal minggu lalu, namun rundingan terhenti selepas kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain membuat perubahan pada saat-saat akhir.

Pemimpin-pemimpin parti persekutuan lain di Kanada termasuk pihak pembangkang Konservatif, menyatakan sokongan kepada Carney.

Trump  mendakwa tarif yang dikenakan ke atas barangan import dari negara luar akan meningkatkan sektor pembuatan AS dan mewujudkan peluang pekerjaan domestik.

Namun, pengkritik berpendapat ia hanya meningkatkan harga barangan bagi pengguna di AS selain mengganggu dan merosakkan ekonomi global.

Scroll to Top