lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan cuba membunuh seorang pekerja kedai nombor ramalan dengan cara membakar sehingga menyebabkan mangsa cedera parah, awal bulan ini.
Tertuduh, Ang Kam Tong, 59, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
“Tak salah,” katanya di dalam kandang tertuduh.
Dia didakwa cuba membunuh Gan Siew Teen, 62, dengan cara membakar menggunakan minyak petrol sehingga mengakibatkan kecederaan serius di kedai nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, di sini, pada jam 7.51 pagi, 9 Ogos lalu.
Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff tidak menawarkan jaminan dengan hujah tertuduh menyebabkan kecederaan serius melecur tahap tiga terhadap mangsa dan terdapat laporan lelaki itu cuba melarikan diri ketika ditangkap.
Peguam, Lee Keng Fatt yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon anak guamnya diberi jamin.
“Tertuduh adalah seorang pemandu e-hailing, tiada pendapatan tetap, belum berumah tangga dan mempunyai adik-beradik yang mungkin boleh jamin tertuduh,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 25 September depan untuk serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd
