am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Lebih 29 hektar kawasan belukar di Jalan Bypass Punggai – Sebana Cover, Pengerang di sini hari ini terbakar menyaksikan operasi pemadaman oleh pihak bomba masih giat dijalankan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 11.25 tengah hari.
Katanya, seramai 12 anggota diketuai Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove dan BBP Pungai diketuai Pegawai Bomba Kanan I Noor Ikhson Shukor dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kebakaran lalang membabitkan kawasan seluas 29 hektar.
“PKO bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan pam jentera, selain dibantu BBP Punggai yang turut menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan pam jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman masih dijalankan setakat jam 5 petang ini dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Terdahulu, gambar kebakaran berkenaan yang memaparkan kepulan asap tebal menjulang tinggi turut tular di media
sosial hingga mengehadkan pemandangan khususnya bagi pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Cuaca panas dan kering selain tanah gambut dipercayai menyebabkan kebakaran mudah merebak ke
kawasan sekitarnya.
Semalam, kebakaran lalang di Persiaran Medini, Iskandar Puteri menyebabkan lebih 4 hektar di kawasan berkenaan turut musnah terbakar.
© New Straits Times Press (M) Bhd
