PETALING JAYA: WCE Holdings Bhd masih menunggu maklumat lengkap daripada kerajaan berhubung cadangan peluasan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ke arah selatan hingga Gelang Patah menerusi model penswastaan sebelum membuat sebarang keputusan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lyndon Alfred Felix berkata, beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu termasuk struktur pembiayaan, kos pembangunan, isu pengambilan tanah serta tahap sokongan kerajaan terhadap cadangan berkenaan.
“Cadangan itu memang boleh menarik kerana sambungan tersebut berpotensi membawa lebih banyak trafik kepada WCE. Namun, kita perlu melihatnya secara objektif dan menilai semua risiko terlebih dahulu.
“Peningkatan kos pembangunan serta risiko berkaitan pengambilan tanah perlu diambil kira. Jika tiada sokongan kerajaan untuk menangani perkara itu, tahap risiko mungkin terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di sini hari ini.
Menurut Lyndon, WCE pada masa ini masih belum mempunyai maklumat mencukupi untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap cadangan peluasan tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, sebarang peruntukan kerajaan bagi pembangunan di sepanjang koridor WCE dijangka memberi kesan positif kepada jumlah trafik, selain merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan yang dilalui lebuh raya berkenaan.
“Cadangan peluasan WCE ke Gelang Patah dilihat berpotensi memperluas jaringan lebuh raya berkenaan ke arah selatan, sekali gus membuka peluang untuk meningkatkan aliran trafik dan mengukuhkan prospek jangka panjang syarikat,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan bercadang meneroka dua projek lebuh raya utama melalui model penswastaan, iaitu laluan selatan WCE sepanjang 303.5 kilometer (km) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor, serta jalan sepanjang 118.7km yang menghubungkan Simpang Pelangai, Pahang dengan Putrajaya.
Cadangan itu bertujuan mengoptimumkan pengurusan kos dan meningkatkan kecekapan fiskal negara.
Kedua-dua projek tersebut juga dirancang sebagai laluan alternatif berkapasiti tinggi bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8).
Keputusan untuk meneroka projek berkenaan melalui model penswastaan dibuat dalam Mesyuarat Ke-50 Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perbincangan lanjut bersama kerajaan negeri yang terlibat akan diadakan bagi memperincikan kaedah pelaksanaan serta memastikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.
Bagi laluan Banting-Gelang Patah, projek tersebut sebelum ini diumumkan dalam Belanjawan 2025 sebagai projek sepanjang kira-kira 230 km dan dirancang untuk dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta (PPP). – UTUSAN

