Petaling Jaya : Junior Chamber International Petaling Jaya (JCI Petaling Jaya) menganjurkan HopeFest 2026, sebuah program komuniti berteraskan tema Hope for Tomorrow.
Program selama dua hari di Paradigm Mall di sini, yang merangkumi pelbagai pengisian kesihatan fizikal dan mental, keusahawanan, pembangunan belia, serta kelestarian alam sekitar.
Ia dirasmikan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Chean Chung menekankan bahawa persekitaran kehidupan bandar yang pesat memerlukan lebih banyak ruang sosial bermakna bagi menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat di samping menangani isu kesihatan mental yang semakin meningkat.
“Kadar kemurungan kini meningkat daripada 2.8 peratus kepada lebih 4 peratus. Masyarakat memerlukan platform komuniti yang menyampaikan mesej harapan, kasih sayang dan empati supaya mereka yang berdepan tekanan merasa disokong dan tidak menanggung beban bersendirian,” katanya.
Sementara Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 19, Nalina Nair menegaskan pembinaan bandar prihatin tidak wajar dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sinergi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Nalina yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei, berkata sebuah bandar yang benar-benar berdaya huni tidak seharusnya diukur berdasarkan jalan raya, bangunan dan kemudahan awam semata-mata.
Sebaliknya, katanya, perkara yang sama penting ialah keupayaan membina komuniti yang erat, saling berhubung dan mengambil berat antara satu sama lain.
Naib Presiden Eksekutif Kebangsaan JCI Malaysia 2026, Maegann Yap pula mengingatkan bahawa impak perubahan sosial bermula daripada tindakan-tindakan kecil setiap individu.
“Konsep “Power of One” yang diketengahkan tahun ini menekankan bahawa seorang individu mampu mempengaruhi individu lain, manakala satu tindakan yang kelihatan kecil boleh menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih besar.
“Apabila setiap individu bersedia menyumbangkan bahagiannya, tindakan-tindakan kecil ini akhirnya boleh bergabung dan membentuk impak sosial yang melangkaui seseorang individu.” katanya.
Dalam pada itu beberapa kerjasama strategi dilakukan iaitu membabit JCI Petaling Jaya yang menjalin kerjasama rasmi bersama TEDBOY, Fourways System Sdn Bhd, dan Sathya Sai International Organization of Malaysia bagi menggabungkan sumber pembiayaan, teknologi, dan khidmat sosial.
Antara aktiviti dan pengisian utama dilakukan adalah sesi terapi bunyi (Sound Bath), pemeriksaan tulang belakang (Chiropractic First), forum kepimpinan UPNEXT!, sesi pelepasan emosi (Unburden), serta permainan jaringan perniagaan Future Builder Day.
Program ini berjalan lancar dengan usaha yang diterajui Presiden JCI Petaling Jaya 2026, Gabby Wong, dengan sokongan Collexe Consulting (Penaja Penaung), Paradigm Mall (Penaja Lokasi), dan pelbagai rakan korporat tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

