Netanyahu dakwa Iran cuba bunuh salah seorang anaknya

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Isnin mendakwa Iran cuba membunuh salah seorang daripada dua anak lelakinya, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai percubaan pembunuhan yang didakwa itu.

“Perkara luar biasa berlaku. Iran menyasarkan salah seorang anak saya. Iran cuba membunuh salah seorang anak saya,” katanya dalam wawancara telefon bersama saluran televisyen Israel, Channel 14.

Dakwaan itu dibuat ketika Netanyahu mengulas laporan berhubung keputusan agensi keselamatan domestik Israel, Shin Bet, yang dilaporkan enggan menyediakan pasukan pengawal peribadi kepada bekas ketua tentera Israel, Gadi Eisenkot.

Eisenkot kini bertanding dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober dan dilaporkan bersaing sengit dengan Netanyahu.

Netanyahu menyatakan sokongan terhadap penyediaan kawalan keselamatan sepanjang masa untuk Eisenkot, sambil menegaskan langkah itu bukan satu kemewahan.

“Tanpa itu, (pihak Iran) akan berjaya,” katanya.

Netanyahu mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Bagaimanapun, tidak jelas anak lelakinya yang mana satu didakwa menjadi sasaran.

Anak sulungnya, Yair, 35, dilaporkan menghabiskan tempoh yang panjang di Miami sejak awal 2024 dan dikatakan berada di bawah perlindungan Shin Bet.

Kehadiran Yair di Amerika Syarikat sebelum ini mencetuskan kontroversi di Israel berhubung kos yang ditanggung pembayar cukai bagi penyediaan kawalan keselamatannya.

Sebahagian penduduk di selatan Florida turut menyuarakan kebimbangan bahawa kehadirannya berpotensi menjadikan kawasan itu sasaran serangan oleh musuh Israel.

Tidak lama selepas kenyataan Netanyahu tersebar pada Isnin, wartawan Israel, Amit Segal, menerusi saluran Telegramnya mendakwa percubaan pembunuhan itu telah diketahui sejak ‘berbulan-bulan’ lalu, namun tertakluk kepada perintah larangan laporan.

Israel sebelum ini membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan awal yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari, selain beberapa anggota keluarganya.

Seminggu kemudian, anaknya, Mojtaba Khamenei, yang merupakan salah seorang daripada enam anak pemimpin tersebut, dinamakan sebagai pemimpin tertinggi Iran yang baharu.

Dalam mesej yang dibacakan bagi pihaknya menerusi televisyen kerajaan, Mojtaba berkata selain bapanya, beliau turut kehilangan isteri, adik perempuannya, anak saudara serta abang iparnya.

Mojtaba tidak kelihatan di khalayak ramai sejak dilantik dan dilaporkan cedera dalam serangan sama yang mengorbankan bapanya.

Dalam satu lagi mesej yang dikaitkan dengannya dan disiarkan sempena upacara pengebumian bapanya, pemimpin baharu Iran itu berikrar untuk ‘membalas darah’ Ali Khamenei. – Agensi

Scroll to Top