Kumpulan Sunway sahkan insiden roller coaster

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah mengesahkan insiden kemalangan membabitkan permainan roller coaster di Sunway Lagoon, malam Sabtu lalu.

“Ia satu insiden yang amat kami kesali. Kami bernasib baik kerana ia tidak membabitkan kehilangan nyawa,” katanya ketika dihubungi New Straits Times (NST).

Beliau berkata, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian .

“Pada pandangan saya, insiden ini mungkin berpunca daripada kerosakan pada struktur logam (metal fatigue),” katanya yang turut memberitahu pihak polis menolak sebarang unsur sabotaj atau perbuatan khianat berkait kejadian itu.

10 individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah tarikan permainan di taman tema terkemuka di Sunway Lagoon, malam Sabtu lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu membabitkan seramai 22 orang pengunjung termasuk warga tempatan dan pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, mengesahkan 10 daripada pengunjung taman tema terbabit cedera ringan.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan secara khusus taman tema yang terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah mendesak penjelasan penuh serta siasatan bebas dijalankan susulan insiden berkenaan.

Kejadian itu mula tular selepas satu rakaman video menunjukkan seorang wanita dibawa turun menggunakan pengusung di tangga berdekatan landasan roller coaster yang dikelilingi kawasan pokok tersebar di media sosial.

Satu lagi video berasingan yang dirakam pada waktu siang menunjukkan orang ramai berkumpul berhampiran kawasan permainan berkenaan, manakala beberapa anggota polis dan kakitangan taman tema dilihat beredar dari lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top