Tun Faisal dakwa Musyawarah Nasional 2.0 cuba kelirukan isu Tabung Haji

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Musyawarah Nasional 2.0 telah mengelirukan orang ramai berhubung masalah kewangan dan tadbir urus yang berlaku dalam Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, program tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada ia bertujuan menafikan kewujudan masalah yang pernah dikenal pasti Jabatan Audit Negara (JAN), PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Ernst & Young (EY).

“JAN kata Tabung Haji tidak ada masalah, tetapi RCI kata TH ada masalah. Itu bukan gambaran yang tepat. Cerita sebenarnya JAN sendiri menemui masalah dalam Tabung Haji.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pula melihat masalah tersebut dari sudut yang lebih luas dan lebih serius. Masalah dalam TH memang wujud,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dilapor berkata, beliau tidak menemui sebarang bukti kecurian dalam TH ketika mengetuai jabatan itu.

Beliau yang berkhidmat dari tahun 2017 hingga 2019 menjelaskan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang dijalankan bersama pasukannya ketika itu adalah berdasarkan piawaian serta bukti audit.

Dalam pada itu Tun Faisal menegaskan, masalah berkaitan TH bukan perkara baharu kerana ia telah dikenal pasti dalam tempoh sekitar 2014 hingga 2020 menerusi beberapa proses audit dan semakan.

Malah menurutnya, dakwaan bahawa hanya RCI yang menemukan masalah dalam TH tidak tepat kerana JAN, PwC dan EY turut mengenal pasti pelbagai isu berkaitan kedudukan kewangan serta pelaburan institusi berkenaan.

Beliau berkata, audit yang dijalankan JAN, PwC dan EY tidak boleh dianggap sebagai audit forensik kerana setiap satu mempunyai skop berbeza.

“JAN menjalankan audit terhadap penyata kewangan rasmi TH, manakala PwC menyemak kedudukan kewangan TH, termasuk perkara yang timbul daripada teguran audit JAN.

“EY bukan auditor penyata kewangan TH, tetapi diberi tugasan lebih khusus antaranya menyemak kewangan pro forma,” tegasnya.

Sementara itu Tun Faisal turut mempersoalkan cadangan RCI baharu dan penglibatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dengan mendakwa langkah berkenaan boleh dijadikan alasan untuk ‘membeli masa’ atau melengahkan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Beliau turut mendakwa, peranan RCI, PAC, JAN dan audit forensik perlu dibezakan bagi mengelakkan kekeliruan mengenai skop masing-masing.

“Jika masih ada persoalan tentang kemungkinan salah guna wang, transaksi mencurigakan atau fraud, persoalan tersebut tidak semestinya selesai hanya kerana penyata kewangan telah diaudit,” katanya.

 

 

Scroll to Top