DASAR pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara perlu beralih daripada sekadar memastikan kelangsungan perniagaan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan, produktiviti dan daya saing di peringkat global.
SG4 Group Sdn Bhd (SG4) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Malaysia ketika ini tidak kekurangan PMKS, sebaliknya cabaran sebenar adalah memastikan lebih banyak perusahaan mampu berkembang, meningkatkan produktiviti dan bersaing di peringkat serantau serta global.
Menurut kenyataan itu, Malaysia mempunyai 1,086,386 pertubuhan PMKS pada 2024 yang mewakili 96.1 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 70.1 peratus merupakan perusahaan mikro, 28.2 peratus perusahaan kecil dan hanya 1.6 peratus mencapai kategori perusahaan sederhana.
Struktur berkenaan menunjukkan cabaran negara bukan semata-mata untuk melahirkan lebih banyak perniagaan, sebaliknya membantu perusahaan sedia ada berkembang ke tahap lebih tinggi.

SG4 mahu melihat Malaysia bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai usahawan, malah mampu membesarkan perusahaan tempatan.
Pengerusi SG4, Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah berkata, sektor PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi apabila menyumbang RM689.8 bilion atau 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025.
“Pada masa sama, sektor ini menyediakan pekerjaan kepada 8.09 juta orang atau 48.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara, manakala eksport PMKS bernilai RM214.5 bilion atau 14.7 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
“Fakta ini menunjukkan bahawa hampir separuh daripada pekerjaan negara bergantung kepada ekosistem PMKS dan masa depan sektor ini mempunyai hubungan langsung dengan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menurut Haim Hilman, kerajaan telah menunjukkan komitmen besar terhadap pembangunan PMKS apabila sebanyak 326 program dengan perbelanjaan RM35.04 bilion dilaksanakan pada 2024 yang memberi manfaat kepada lebih 721,000 perusahaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, fasa pembangunan seterusnya perlu memberikan penekanan lebih besar kepada hasil dan impak terhadap perkembangan perusahaan.
“Ukuran kejayaan tidak seharusnya terbatas kepada jumlah program yang dilaksanakan, jumlah pembiayaan yang disediakan atau jumlah perusahaan yang menerima bantuan.
“Kejayaan perlu turut diukur berdasarkan berapa banyak perusahaan yang berjaya meningkatkan hasil, produktiviti dan gaji, menembusi pasaran eksport serta berkembang menjadi syarikat lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, SG4 menyambut baik usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti ke Malaysia, namun manfaat daripada pelaburan berkenaan perlu diperluaskan kepada perusahaan tempatan.
“Setiap pelaburan besar sewajarnya membuka lebih banyak peluang kepada vendor Malaysia, meningkatkan perolehan tempatan, mempercepat pemindahan teknologi, membangunkan tenaga mahir dan membantu syarikat tempatan memasuki rantaian bekalan syarikat multinasional.
“Dengan pendekatan ini, kejayaan menarik pelaburan asing akan turut menjadi kejayaan membangunkan kapasiti domestik,” katanya.
Sehubungan itu, Haim Hilman berkata, SG4 mencadangkan pembangunan PMKS diperkukuh menerusi Kerangka 4C merangkumi Capacity (keupayaan), Capital (modal), Connection (hubungan) dan Catalyst (pemangkin).
Menurutnya, perusahaan memerlukan keupayaan dalam aspek teknologi, produktiviti, pengurusan dan bakat selain modal bersesuaian untuk berkembang serta hubungan dengan pasaran dan rantaian bekalan.
Pada masa sama, kerajaan, institusi kewangan, universiti dan industri perlu membentuk ekosistem yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan tempatan.
Beliau berkata, pendekatan pembangunan vendor juga perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar mendaftarkan syarikat tempatan sebagai vendor.
Sebaliknya, matlamat lebih besar adalah memastikan vendor Malaysia memperoleh kontrak, meningkatkan teknologi dan produktiviti, menjadi pembekal kepada syarikat multinasional serta mempunyai kemampuan memasuki pasaran antarabangsa.
“Kerajaan tidak perlu menjalankan perniagaan bagi pihak usahawan. Sebaliknya, kerajaan perlu memastikan dasar, pembiayaan, pembangunan bakat, teknologi, akses pasaran dan peluang dalam rantaian bekalan bergerak dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi kewangan, agensi pelaburan, industri dan universiti akan menjadi semakin penting dalam membina generasi baharu perusahaan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, SG4 menganjurkan SG4 Round Table Discussion on Malaysian SMEs di Kuala Lumpur yang diketuai Haim Hilman dengan menghimpunkan institusi kewangan, pemain industri, agensi pelaburan dan agensi pembangunan ekonomi.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada masa depan PMKS Malaysia dalam menghadapi peningkatan pelaburan asing serta persaingan ekonomi global.
Hasil perbincangan berkenaan akan menjadi antara asas penyediaan Kertas Putih SG4 bertajuk Beyond Growth, Redefining SME Success in a Borderless Yet Bounded World bagi membawa dapatan dan cadangan daripada industri, institusi kewangan serta agensi berkaitan ke peringkat perbincangan lebih luas.
Haim Hilman berkata, SG4 mahu melihat Malaysia bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai usahawan, malah mampu membesarkan perusahaan tempatan.
“Kita mahu melihat lebih banyak perusahaan mikro berkembang menjadi perusahaan kecil, lebih banyak perusahaan kecil berkembang menjadi perusahaan sederhana dan lebih banyak perusahaan sederhana muncul sebagai syarikat nasional yang mampu menembusi ASEAN serta pasaran dunia.
“Inilah anjakan yang perlu menjadi antara ukuran penting kejayaan dasar pembangunan perusahaan negara,” katanya.