am@hmetro.com.my
Gua Musang: Seorang lelaki warga emas melecur akibat disimbah cecair dipercayai cuka getah oleh isterinya di Kampung Bertam Baru, di sini, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi tadi, mangsa yang berusia 63 tahun dipercayai disimbah cuka getah ketika sedang tidur di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 2.14 pagi tadi berhubung kejadian seorang lelaki warga emas yang mengalami kecederaan selepas dipercayai disimbah dengan cecair dipercayai cuka getah.
Katanya, suspek adalah seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang juga isteri mangsa.
“Selepas kejadian mangsa mendapatkan bantuan daripada seorang kenalan untuk dihantar ke Klinik Kesihatan Bertam bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP).
“Seterusnya mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan lecur yang dialaminya” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurut beliau dalam kejadian yang sama suspek turut ditemukan mengalami kecederaan pada bahagian perut dan mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan perselisihan rumah tangga, namun motif sebenar masih dalam siasatan pihak polis
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan saksi serta menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
