UNESCO rancang senarai Great Barrier Reef 'dalam bahaya'

UNESCO rancang senarai Great Barrier Reef  'dalam bahaya'

BRISBANE: Kerajaan Australia menentang keras rancangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mahu menyenaraikan terumbu karang terbesar di dunia atau Great Barrier Reef sebagai ‘dalam bahaya.

Badan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu mengeluarkan draf laporan semalam, yang mengesyorkan status warisan dunia itu itu diturunkan kerana terumbu karang itu mengalami kemerosotan yang dramatik akibat akibat fenomena perubahan iklim global.

Aktivis alam sekitar berkata, keputusan itu menunjukkan betapa kurangnya tindakan Australia untuk mencegah pelepasan (karbon)

dan menimbulkan rasa malu kepada kerajaan.

Menteri Alam Sekitar Australia, Sussan Ley berkata, negara itu akan mencabar rancangan menjelang sesi ke-44 Jawatankuasa Warisan Dunia yang dianjurkan oleh China bulan depan.

Ley berkata, keputusan itu dibuat tanpa menimbangkan berbilion-bilion dolar yang dibelanjakan untuk melindungi terumbu karang terbesar di dunia.

“Ini memberikan isyarat buruk kepada negara yang tidak melakukan pelaburan dalam perlindungan terumbu seperti yang dilalukan oleh kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Australia menolak gesaan untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih pada 2050, dengan Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, negara itu berharap dapat mencapai karbon neutral secepat mungkin tanpa membahayakan ekonominya yang bergantung pada komoditi.

Rancangan menyenaraikan gugusan terumbu karang ke dalam senarai dalam bahaya Warisan Dunia mendorong kumpulan alam sekitar untuk menyoroti keengganan Canberra mengambil tindakan tegas dalam menangani fenomena perubahan iklim.

Gugusan terumbu karang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1981 itu memainkan peranan ekosistem sangat penting dalam menyokong kelangsungan biodiversiti (kepelbagaian hidupan) marin.

Ia dianggap tunjang kepada kehidupan sejagat mengambil kira komposisinya yang mengandungi lebih 2,900 batu karang dan kira-kira 900 pulau yang terbentang sepanjang 2,600 kilometer (km) dengan luas permukaan sekitar 344,400km persegi. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top