PM zahir takziah atas kemangkatan kakanda Sultan Pahang

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh Kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Sri Aishah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Perdana Menteri mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat, mengurniakan keampunan serta menempatkan Almarhumah dalam kalangan solihin.

“Didoakan agar Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang serta seluruh Kerabat Diraja dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan yang amat dirasai ini. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Almarhumah mangkat di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada jam 9.15 malam tadi.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, memaklumkan jenazah Almarhumah akan dibawa ke Makam Diraja Pahang, Pekan, pagi ini untuk dimakamkan dengan penuh penghormatan dan istiadat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top