KUALA LUMPUR – Seramai 12 rakyat Malaysia yang kini berada di Annapurna Base Camp, Nepal, dilaporkan selamat dan meneruskan perjalanan seperti biasa susulan tragedi banjir besar yang melanda kawasan sempadan Nepal-China pada Rabu.
Salah seorang pendaki, Muhammad Hafizal Hamidon berkata, kumpulan berkenaan berada jauh dari kawasan yang terjejas akibat bencana berkenaan dan tidak berdepan sebarang masalah setakat ini.
Menurutnya, perkembangan tragedi itu bagaimanapun amat membimbangkan selepas mereka mengikuti laporan media tempatan mengenai kemusnahan yang berlaku di kawasan terjejas.
“Kami di trek Annapurna Base Camp masih teruskan perjalanan seperti biasa. Di sini jauh dari kawasan bencana banjir tersebut.
“Mengikut media tempatan, memang sangat menakutkan bencana tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
BERITA BERKAITAN:Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang
Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi
95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal
17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal
Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal
11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal – Wisma Putra
Muhammad Hafizal berkata, setakat ini dia tidak mempunyai maklumat kumpulan lain yang dipercayai terlibat dalam tragedi berkenaan.
“Kami di sini semua selamat. Doakan kami selamat pulang ke Malaysia pada 31 Ogos atau 1 September, ini” katanya.
Bencana banjir besar yang melanda kawasan Rasuwa berhampiran sempadan Nepal-China pada Rabu mengorbankan lebih 160 orang, selain ratusan lagi dilaporkan hilang.
Kejadian dipercayai berpunca daripada runtuhan glasier yang mencetuskan aliran deras ais, batu dan lumpur sebelum melanda kawasan di sepanjang sungai, termasuk laluan penting menuju sempadan Nepal-China.
Daerah Rasuwa antara yang paling teruk terjejas apabila beberapa penempatan, jalan raya dan jambatan musnah, manakala operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.
