Pas tak hapus judi ketika berkuasa, AMK Johor persoal Sanusi

JOHOR BAHRU – Pas sepatutnya menjelaskan mengapa isu perjudian tidak dihapuskan ketika parti itu berada dalam kerajaan Persekutuan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezudddin Puad berkata, jumlah cabutan khas judi nombor ramalan kini dikurangkan kepada lapan kali setahun di bawah pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, jumlah itu berbeza dengan 22 kali cabutan khas setahun ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Persoalannya, kenapa Kerajaan Madani yang kononnya dilabel liberal la, DAP la, kerajaan ini yang turunkan? Kenapa Pas yang konon terlalu Islamik tak hapuskan terus judi ketika mereka ada kuasa?

“Jadi kalau ikut sifir Sanusi sendiri, Pas lah yang ‘celaka’ dan ‘pelaq’ kan? Tak gitu,” soalnya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.

Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000, selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan bagi mendapatkan kebenaran merayu.

Susulan itu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor didakwa menyalahkan Perdana Menteri berhubung keputusan mahkamah mengenai lesen premis perjudian di negeri itu.

 

 

Scroll to Top