Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam ruang simpan tayar pesawat di KLIA 2

SEPANG: Seorang lelaki tanpa identiti ditemukan maut dalam keadaan mayatnya telah mereput di ruang simpanan tayar sebuah pesawat yang diletakkan di kawasan parkir pesawat Terminal KLIA 2, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, mayat lelaki yang dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 7 pagi oleh petugas lapangan terbang ketika menjalankan pemeriksaan rutin sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa dan tiada kesan kecederaan pada tubuhnya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idria Shah Serdang untuk dibedah siasat manakala siasatan dijalankan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR).

“Berdasarkan saiz fizikal, mangsa dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketika ditemuikan, mangsa memakai hoodie putih bergambar naga di bahagian belakang dan bertulis Oakley di hadapan, selain seluar jeans biru muda serta kasut sukan hitam.

Ravi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 03-87768222 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Scroll to Top