hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Baru dua hari bergelar suami dan Muhammad Alif Ahmad Rozaini, sepatutnya menikmati bahagia bersama isteri, namun impian membina rumah tangga berakhir pilu apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan, semalam.
Muhammad Alif, 24, yang juga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) meninggal dunia semalam selepas motosikal dinaiki bersama isteri, Noor Azilah Hanim Mohd Tajuddin, 24, terbabit kemalangan dengan dua kereta di Tampin, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.
Pasangan berkenaan melangsungkan majlis pernikahan dan persandingan di Tampin pada 23 Ogos, lalu.
Berkongsi kisah itu, kakak ketiga Muhammad Alif, Umminadhrah Ahmad Rozaini, 29, berkata, kehilangan adiknya itu yang juga anak keenam daripada sembilan beradik sangat dirasai, apatah lagi ketika keluarga mereka gembira menerima ahli keluarga baru.
Katanya, dia kali terakhir bertemu adiknya pada majlis perkahwinan pasangan itu dan mengakui adiknya yang agak pendiam dilihat lebih banyak bercakap malah turut membuat ucapan pada majlis berkenaan.
“Kami sempat rakam video itu untuk kenangan kerana adik agak pendiam orangnya. Antara ucapan dia yang saya akan ingat ialah dia cakap ‘tolong doakan kami kekal hingga ke jannah’ dan ketika itu suaranya bergetar.
“Saya masih ingat dia menitiskan air mata ketika lafaz nikah dan taklik pada hari pernikahannya dan semua itu akan menjadi kenangan kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Katanya, mereka sekeluarga masih bersedih dan terkejut dengan kejadian itu kerana Muhammad Alif baru saja dua hari melangsungkan perkahwinan.
“Kehilangan Muhammad Alif sangat dirasai dan sekelip mata kami kehilangannya, baru dua hari adik berkahwin namun kini dia sudah ‘tiada’.
“Walaupun sukar kami tetap reda dan Hanim akan sentiasa menjadi adik ipar kami serta kami akan menjaganya,” katanya memaklumkan Muhammad Alif yang bertugas di Melaka itu disifatkan seorang yang baik, aktif bersukan dan suka membantu.
Menurutnya, ketika kejadian adik dan adik iparnya itu mahu ke sebuah bank untuk menyelesaikan urusan berkaitan majlis bertandang pihak lelaki pada 30 Ogos ini sebelum terbabit kemalangan.
Katanya, adik iparnya patah kedua-dua kaki serta tangan dan akan menjalani pembedahan pada kaki kiri, hari ini.
“Kami akan memberi semangat kepada adik ipar kerana dia juga sangat terkesan. Kami buat panggilan video supaya dia boleh melihat jenazah suaminya diuruskan dan dikebumikan,” katanya.
Muhammad Alif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kalumpang, Selangor semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd

