sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kelantan City mensasarkan kedudukan kedua dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/27 yang membuka tirai hujung bulan ini.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu realistik susulan kehadiran pemain dan pengurusan yang berpengalaman selain fokus membentuk pasukan yang kuat termasuk impian menjinakkan JDT dan Selangor.
Katanya, pihaknya tidak terburu-buru mahu bersaing di Liga Super sebaliknya memberi persiapan pasukan untuk mampu bersaing dalam setiap perlawanan.
“Kami nak bina pasukan daripada bawah, biar mantap, kami tak mahu jadi punching bag lawan, kena berada di Liga A1 sekurang-kurangnya dua tahun.
“Berada di Liga Super, kewangan kena bagus, permainan kena bagus,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Jersi Kelantan City oleh PUC dan Pengenalan Penaja serta rakan strategik di Hotel Perdana, di sini.
Hadir sama, Pengurus Pasukan Kelantan City FC, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah dan Ketua Jurulatih, Alfredo Gonzalez.
Annuar berkata, beliau juga meminta pihak kejurulatihan memberi tekanan pemain kepada aspek kualiti individu untuk melahirkan bintang baru pasukan.
Kelantan City tampil bertenaga dengan merekrut barisan pemain berpengalaman seperti Muhammad Hadin Azman, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Nazrin Nawi.
Terdahulu, pasukan memperkenalkan jersi merah, hitam dan edisi istimewa berwarna biru bagi saingan musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
