Putrajaya: Analisis model ramalan cuaca yang dipantau oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan beberapa kawasan di negara ini kekal berisiko mengalami cuaca berjerebu dengan jarak penglihatan terhad bagi tempoh 27 hingga 31 Ogos ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu susulan pengaruh angin barat daya serta jumlah titik panas yang masih tinggi di selatan Sumatera dan barat Kalimantan.
“Ramalan model kepekatan jerebu MyCMAQ (Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia) menunjukkan Sarawak berpotensi menjadi kawasan paling terkesan, dengan kebanyakan daerah dijangka mengalami cuaca berjerebu pada tahap Tidak Sihat.
“Beberapa daerah juga berpotensi mencapai tahap Sangat Tidak Sihat pada 30 dan 31 Ogos,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keadaan cuaca berjerebu dijangka berlaku di Sabah mulai Sabtu ini manakala kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 31 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd
