Keluarga menaruh harapan tinggi dua pegawai bomba selamat

PETALING JAYA: Keluarga kepada dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal, semalam, masih menaruh harapan tinggi agar mereka selamat.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya terus berhubung dengan kedua-dua keluarga berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini masih tiada maklumat terkini mengenai nasib mereka.

“Masih menaruh harapan tinggi. Setakat ini, tiada berita daripada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan, dua pegawai JBPM antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal.

Seorang daripada mereka bertugas sebagai Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM manakala seorang lagi ialah pegawai latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah.

Kedua-dua pegawai lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) yang mula bertolak ke Nepal pada malam Isnin lalu. –UTUSAN

Scroll to Top