Nelayan dikhuatiri hilang terjatuh dari bot

am@hmetro.com.my

Dungun: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas terjatuh dari bot yang dinaiki di kawasan perairan Pulau Tenggol, dekat sini, semalam.

Mangsa, Sabrie Rusli, 32, yang tinggal di Jalan Nibong Stesen dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca yang dinaiki itu ditemui oleh nelayan lain yang kebetulan melalui kawasan terbabit.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan kira-kira jam 6.25 petang.

“Anggota kita segera mengerakkan aset selepas menerima makluman awal daripada Maritime Rescue SubCentre (MRSC) Kuantan.

“Seorang mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Mangsa kali terakhir keluar ke laut dengan memakai baju lengan panjang berwarna kelabu putih,” katanya.

Abdul Halim berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa setakat ini mangsa masih belum berhasil.

“Operasi pencarian akan diperluaskan di sekitar lokasi kejadian dengan mengambil kira faktor cuaca, arus dan keadaan laut bagi memastikan usaha mengesan mangsa dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita menasihati komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut termasukmemakai jaket keselamatan serta memastikan peralatan keselamatan dan komunikasi berada dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kejadian atau kemungkinan keberadaan mangsa hendaklah disalurkan segera kepada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top