NEW YORK; Dua pegawai kawalan trafik udara dikesan meninggalkan tempat kerja lebih awal sebelum berlakunya nahas maut di Lapangan Terbang LaGuardia, Bandar Raya New York, awal tahun ini, menurut siasatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Tragedi pada 22 Mac lalu itu melibatkan perlanggaran antara pesawat Air Canada yang membawa 72 penumpang dan empat anak kapal dengan sebuah jentera bomba hingga mengorbankan dua juruterbang serta mencederakan enam yang lain.
Penyelidik persekutuan mendedahkan bahawa sistem amaran landasan gagal memicu sebarang penggera sebelum pertembungan antara pesawat berkenaan dan jentera bomba berlaku di lapangan terbang tersebut.
Satu sumber yang rapat dengan siasatan mendedahkan kepada akhbar Wall Street Journal bahawa FAA mendapati dua pengawal trafik udara terbabit telah mendaftar keluar kira-kira sejam sebelum syif mereka tamat.
Tindakan itu menyebabkan kakitangan yang masih bertugas di menara kawalan LGA terpaksa berdepan bebanan kerja yang tinggi tanpa sebarang bantuan persediaan.
Amalan pulang awal yang dikenali dalam kalangan pengawal sebagai ‘early shove’ dilaporkan menjadi kebiasaan dalam industri kawalan trafik udara, walaupun pihak FAA mengklasifikasikannya sebagai penipuan kad perakam waktu.
Akhbar berkenaan melaporkan bahawa FAA kini dalam proses memecat kedua-dua pekerja terbabit susulan tindakan mereka meninggalkan tugas awal pada malam kejadian.
Sumber dalaman turut mendedahkan bahawa agensi itu telah menamatkan perkhidmatan lebih 10 pengawal trafik udara tahun ini atas tuduhan penipuan perakam waktu serta salah guna dasar cuti.
Pada malam kejadian, Lapangan Terbang LaGuardia dilaporkan mengendalikan jumlah trafik udara dua kali ganda berbanding biasa, di samping terpaksa berdepan dengan gangguan cuaca ribut petir.
Perlanggaran tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan selepas jentera bomba berkenaan diberikan kebenaran untuk memeriksa sebuah pesawat United Airlines yang membatalkan pelepasan akibat bau mencurigakan di dalam kabin, sebelum kenderaan itu mula melintas di landasan. – AGENSI
