Kerajaan terus pertahan UiTM sebagai institusi pembangunan Bumiputera – Zambry

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kerajaan akan terus mempertahankan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai institusi penting dalam pembangunan pendidikan, profesional dan sosioekonomi Bumiputera.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata mandat dan identiti yang menjadi asas penubuhan serta perkembangan UiTM sebelum ini akan terus dipelihara oleh kerajaan.

“Atas kesedaran terhadap amanah besar inilah, patik ingin menegaskan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan UiTM sebagai institusi penting dalam pembangunan pendidikan, profesional dan sosioekonomi Bumiputera.

“Mandat dan identiti yang menjadi asas penubuhan serta perkembangan UiTM akan terus dipelihara, tetapi mempertahankan UiTM tidak bermakna kita sekadar mempertahankan apa yang telah ada, sebaliknya kita mesti terus memperkukuh, memperkasa dan memajukannya,” katanya pada sembah ucapan sempena Majlis Titah Diraja UiTM sempena Evolusi 7 Dekad UiTM 1956–2026 di sini, hari ini.

Berkenan hadir mencemar dulu ke majlis berkenaan adalah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Berucap lanjut, Zambry berkata antara langkah strategik yang telah dilaksanakan adalah Jawatankuasa Penyelarasan Rasionalisasi UiTM (URCC) yang ditubuhkan untuk meneliti aspek akademik, penyelidikan, inovasi, tadbir urus dan pembangunan bakat.

Selain itu, Zambry berkata jawatan kuasa itu turut membabitkan aspek jaringan industri, pengantarabangsaan serta kesiapsiagaan menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi masa hadapan di bawah kendalian Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh.

“Kita mahu UiTM terus berkembang sebagai ‘Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional’ yakni teguh mandatnya, tinggi kecemerlangannya dan luas sumbangannya kepada negara serta dunia.

“Seiring sambutan Evolusi 7 Dekad UiTM 1956–2026 bertemakan ‘Legasi Ilmu, Aspirasi Unggul’, pencapaian tujuh dekad ini bukan sahaja perlu diraikan, ia mesti dilihat sebagai satu amanah untuk membina tujuh dekad yang seterusnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top