am@hmetro.com.my
Klang: Operasi pencetakan akhbar terbitan Media Prima Berhad (Media Prima) kembali ke Lembah Klang mulai 1 September ini, bagi meningkatkan kecekapan percetakan dan logistik, sekali gus mempercepatkan penghantaran akhbar ke pasaran.
Ketua Pegawai Operasi (COO) The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Luqman Adrine Ja’afar, berkata kedudukan Lembah Klang yang terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia memberi kelebihan kepada operasi penghantaran selain menyediakan lebih fleksibiliti kepada bahagian percetakan.
“Peningkatan kecekapan operasi itu dijangka membolehkan akhbar sampai ke pasaran dengan lebih cepat dan memberi kelebihan kepada penerbitan akhbar di bawah kumpulan Media Prima.
“Apabila kita lebih efisien, kita berharap surat khabar akan boleh lebih cepat berada di pasaran. Jadi itu akan memberikan kita kelebihan berbanding penerbitan lain,” katanya ketika ditemui pada lawatan kumpulan pengurusan NSTP untuk melihat pra-percubaan penerbitan akhbar di Klang di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Datuk Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan (GE) Berita Harian (BH), Zulkilfi Jalil.
Turut hadir, Pengurus Besar Jualan dan Pengedaran Akhbar NSTP, M Prakash; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Ketua Pengeluaran Print Towers Sdn Bhd (PTSB), Adi Sarif Mohamed Anuar.
Luqman Adrine berkata, operasi berkenaan turut menggunakan tenaga kerja yang mempunyai kepakaran tinggi dan mencukupi bagi memastikan kelancaran proses percetakan.
Mengulas masa depan industri media cetak, beliau berkata, medium berkenaan masih mempunyai peranan penting walaupun masyarakat kini mempunyai pelbagai pilihan mendapatkan maklumat menerusi media digital.
Katanya, peranan media cetak tetap penting kepada masyarakat yang mempunyai akses terhad kepada komunikasi digital khususnya di kawasan luar bandar.
“Saya rasa masa depannya cerah kerana media cetak memberikan maklumat yang tepat dan berita yang ada di media cetak adalah berita sahih yang sudah disahkan oleh editor kita,” katanya.
Beliau berkata, setiap berita yang diterbitkan melalui proses verifikasi bagi memastikan kandungan yang disampaikan kepada pembaca adalah tepat dan sahih.
Katanya, kandungan akhbar juga bukan sekadar berita, sebaliknya merangkumi bahan ilmiah yang boleh membantu pelajar membina kemahiran berfikir secara kritis.
“Untuk mengeluarkan satu berita di surat khabar, kita perlukan proses verifikasi yang sempurna kerana kita tidak boleh mencetak perkara yang kita sendiri tidak pasti.
“Kandungan akhbar kita adalah kandungan ilmiah. Jadi untuk mendapatkan berita yang sahih dan tepat, ia akan membantu pelajar mempunyai kemahiran berfikir yang lebih kritis berbanding hanya bergantung kepada maklumat daripada media digital yang kita tidak dapat mengesahkan kesahihan dan keasliannya,” katanya.
Beliau berkata, BH kini dihantar ke semua sekolah menengah di seluruh negara, manakala sebelum ini penghantaran akhbar itu turut dibuat ke sekolah rendah di seluruh Malaysia membabitkan kira-kira 6,000 sekolah.
Bagi New Straits Times (NST), katanya, program seperti ‘Hear The News’ turut disediakan bagi membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
“Surat khabar di bawah Media Prima bukanlah surat khabar kosong atau hanya mengutamakan berita. Selain berita, ia memberi ruang kepada pembaca untuk belajar dengan lebih baik, berkomunikasi dengan lebih baik dan mempunyai pemikiran yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, operasi pencetakan di Lembah Klang ketika ini sedang melalui fasa percubaan selepas pemasangan peralatan dan sistem berkaitan disiapkan.
Operasi percetakan akan bermula sekitar jam 3 petang dan boleh berlanjutan sehingga jam 3 pagi.
Proses percetakan keseluruhan pula boleh selesai seawal tengah malam atau selewat-lewatnya jam 7 pagi sebelum akhbar berkenaan diedarkan ke pasaran.
Sebelum ini, operasi pencetakan dijalankan di Prai dan akan berakhir pada 31 Ogos ini.
Operasi di Lembah Klang pula akan dimulakan secara rasmi pada 1 September selepas tempoh percubaan lebih dua minggu bagi memastikan semua sistem dan proses pengeluaran berjalan lancar.
© New Straits Times Press (M) Bhd
