AS tangguh semua permohonan visa imigresen

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menghentikan semua permohonan visa imigresen ketika pentadbiran Presiden Donald Trump memperketat kawalan kemasukan, termasuk terhadap individu yang berkemungkinan bergantung kepada bantuan awam.

Jabatan Negara AS melaksanakan langkah itu pada awal Ogos di semua kedutaan dan konsulatnya di seluruh dunia, menyebabkan beberapa temu janji visa perlu diselaraskan bagi membolehkan pegawai menjalani latihan tambahan.

Sejak awal tahun ini, Jabatan Negara turut memperkenalkan garis panduan dan latihan baharu bagi memastikan pegawai konsular dapat menilai setiap pemohon visa secara menyeluruh dan konsisten.

Menurut laporan Financial Times, pemohon yang sudah mempunyai temu duga dija­dualkan menerima e-mel memaklumkan temu janji mereka dibatalkan dan tarikh serta masa baharu akan diberikan kemudian.

Akhbar The Guardian mela­porkan langkah itu bertujuan memastikan individu yang berjaya mendapatkan visa tidak bergantung kepada bantuan awam selepas memasuki AS.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha meluas pentadbiran Trump untuk memperketat kawalan terhadap imigresen secara sah dan haram.

Pentadbiran itu juga mahu mewujudkan proses pemilihan lebih ketat bagi menentukan individu yang layak memasuki AS.

Awal minggu ini, pentadbiran Trump mengumumkan rancangan membatalkan visa pemohon suaka yang memasuki AS menggunakan visa pelancongan atau perniagaan.

Langkah itu dijangka memberi kesan kepada puluhan ribu individu yang kini sedang memohon suaka di negara ber­kenaan.

Jika dilaksanakan, tindakan ter­sebut berpotensi menjadi an­tara operasi pembatalan visa terbesar dalam sejarah AS. – AGENSI

Scroll to Top