Hutan semakin susut, haiwan, Orang Asli jadi mangsa

KUALA LUMPUR – Kemusnahan hutan dan ekosistem yang semakin membimbangkan bukan sahaja mengancam hidupan liar, malah turut memberi kesan kepada kehidupan masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada sumber hutan.

Penasihat Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan), Shikin Omar berkata, kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebelum ini bahawa litupan hutan di Semenanjung Malaysia hanya sekitar 43 peratus seharusnya menjadi amaran serius kepada semua pihak.

Menurutnya, Malaysia selama ini komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan.

“Persoalannya, sampai bila hutan mahu dikorbankan sehingga kita benar-benar berasa sudah cukup?

“Hutan dan haiwan ialah khazanah alam yang perlu dipelihara. Apabila gunung ditarah, hutan diteroka serta kawasan tadahan air dan sungai terjejas, kesannya bukan hanya kepada alam sekitar tetapi kepada keseluruhan ekosistem,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Shikin berkata, kemusnahan habitat turut menyebabkan sumber air semakin terjejas, sungai menjadi keruh dan habitat hidupan liar semakin mengecil.

Katanya, keadaan itu akhirnya mencetuskan konflik antara manusia dengan hidupan liar apabila haiwan keluar mencari makanan atau laluan baharu.

“Sedangkan manusia yang terlebih dahulu mengganggu rumah mereka, namun haiwan pula dilabel sebagai masalah,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa aktiviti pembukaan dan penebangan hutan masih berlaku sehingga menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

Katanya, kerajaan negeri perlu mencari sumber ekonomi alternatif yang tidak bergantung sepenuhnya kepada penerokaan dan penebangan hutan.

“Hutan yang ditebang mungkin memberikan hasil ekonomi dalam tempoh tertentu, tetapi apabila hutan hilang, kita kehilangan lebih daripada pokok.

“Kita kehilangan sumber air, biodiversiti, habitat hidupan liar, kawasan tadahan air, sumber makanan masyarakat setempat dan sistem ekologi yang mengambil masa puluhan atau ratusan tahun untuk terbentuk,” katanya.

Dalam pada itu, Shikin berkata, masyarakat Orang Asli turut menjadi antara pihak yang menanggung kesan kemusnahan hutan kerana kehidupan mereka bergantung kepada hutan sebagai sumber makanan, pendapatan dan keperluan harian.

Katanya, apabila hasil hutan semakin berkurangan, kehidupan masyarakat berkenaan turut terjejas, manakala konflik dengan hidupan liar menjadi semakin kerap apabila haiwan memasuki kawasan penempatan.

“Jadi, siapa sebenarnya yang menanggung harga kemusnahan hutan ini dan siapa pula yang paling untung?” soalnya.

Jangan hanya tangani akibat

Shikin turut menggesa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta agensi berkaitan melihat isu konflik manusia dan hidupan liar secara menyeluruh.

Katanya, penyelesaian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan menangkap dan memindahkan haiwan yang memasuki kawasan manusia.

“Jika mahu mengurangkan beban Perhilitan, jangan terus musnahkan habitat yang menjadi rumah kepada hidupan liar.

“Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terhadap keputusan pembangunan dan pengurusan tanah di negeri masing-masing,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan juga perlu memastikan pengurusan hutan benar-benar berteraskan kelestarian dan bukan semata-mata mengejar hasil ekonomi jangka pendek.

Pada masa sama, katanya, Perhilitan perlu diberikan sumber, dana, tenaga kerja dan sokongan mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawab mengurus konflik hidupan liar.

“Jangan letakkan semua beban di atas bahu Perhilitan sedangkan punca konflik datang daripada pelbagai keputusan dan aktiviti pihak lain,” katanya.

Kes gajah Sulong

Mengulas kes gajah Sulong yang tular baru-baru ini selepas dipindahkan dari Chalil, Gua Musang ke Hutan Gerik, Shikin berkata, kejadian itu turut menimbulkan persoalan mengenai pengurusan konflik gajah dan kebajikan haiwan terbabit.

Menurutnya, gajah berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki akibat dirantai terlalu lama ketika menunggu ketibaan gajah denak bagi proses pemindahan.

“Jika benar kelewatan itu berlaku kerana terlalu banyak kes konflik gajah berlaku secara serentak, ia menunjukkan betapa besarnya tekanan yang sedang ditanggung Perhilitan dalam mengurus konflik manusia dengan gajah,” katanya.

Beliau berkata, kes itu juga menimbulkan persoalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) apabila gajah terpaksa menunggu lama sebelum proses translokasi dilakukan.

“Apakah langkah perlindungan yang wajib diambil bagi memastikan kebajikan dan keselamatan gajah tidak terjejas?

“Namun, jangan kita meletakkan 100 peratus kesalahan kepada petugas di lapangan. Kita perlu melihat punca lebih besar apabila hutan terus digondol dan habitat gajah semakin hilang,” katanya.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan Perhilitan terpaksa menangani kesan daripada kemusnahan habitat yang dilakukan pihak lain.

Shikin turut mengingatkan bahawa gajah denak mempunyai batas tenaga dan tidak sepatutnya dipaksa bekerja secara berterusan bagi menangani konflik yang semakin meningkat akibat kehilangan habitat.

“Kes Sulong sepatutnya menjadi amaran bahawa kita tidak boleh hanya merawat akibat. Punca konflik juga mesti dihentikan iaitu kemusnahan habitat dan hutan yang tidak terkawal,” katanya.

Scroll to Top