KATHMANDU: Nepal mungkin memerlukan sekurang-kurangnya AS$5 bilion (RM20 bilion) untuk membina semula infrastruktur negara yang musnah akibat banjir besar minggu ini.
Jumlah itu dianggarkan oleh satu-satunya bilionair Nepal, Binod Chaundhary, yang menyifatkan usaha pemulihan sebagai cabaran besar berikutan kos, tempoh masa serta keadaan geografi negara tersebut.
“Saya tidak akan terkejut jika kos akhirnya mencecah paras itu,” kata Pengerusi Chaudhary Group itu.
Menurutnya, proses pemulihan bukan sahaja memerlukan peruntukan besar, malah mengambil masa panjang berikutan bentuk muka bumi Nepal yang sukar.
Chaudhary Group mempunyai perniagaan dalam 12 sektor, termasuk makanan, telekomunikasi, infrastruktur dan perbankan.
“Ia merupakan isu besar yang kita hadapi,” katanya ketika mengulas usaha memulihkan kawasan terjejas dan menggerakkan semula ekonomi negara.
Menteri Kewangan Nepal, Swarnim Wagle, turut menganggarkan negara itu memerlukan sekurang-kurangnya beberapa bilion dolar bagi menampung kerugian dan kerosakan akibat bencana berkenaan.
“Secara keseluruhan, saya fikir jumlah kerugian dan kerosakan apabila dinilai sepenuhnya dalam tempoh seminggu atau lebih akan mencecah sekurang-kurangnya beberapa bilion dolar. Anggaran awal amat membimbangkan,” katanya.
Banjir besar melanda kawasan pergunungan di sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu, menenggelamkan beberapa kampung serta menghanyutkan jalan raya dan jambatan.
Sekurang-kurangnya 475 orang disahkan maut, manakala kira-kira 1,200 lagi masih hilang, termasuk ratusan pelancong asing, menurut polis.
Siasatan awal mendapati pencairan glasier mungkin menjadi punca bencana berkenaan.
“Kita menyaksikan gangguan sepenuhnya,” kata Chaudhary, sambil memaklumkan bahawa beberapa stesen janakuasa turut mengalami kerosakan.
Chaudhary Group bekerjasama dengan kerajaan, rakan kongsi tempatan serta tentera dalam usaha pemulihan itu dan mengerahkan kakitangannya untuk menubuhkan pusat pemulihan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh dua hari akan datang.
Kumpulan itu kemudian akan memulakan pembinaan rumah serta membantu perniagaan dan sekolah yang terjejas.
Chaudhary berkata, jumlah yang akan dibelanjakan kumpulannya bagi usaha berkenaan dijangka melebihi peruntukan pada 2015, ketika gempa bumi dahsyat mencetuskan usaha pembinaan semula di seluruh negara.- BLOOMBERG
