‘Jadi siapa yang sponsor tauke judi?’ – Ahmad Fadhli

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan pihak yang didakwa menjadi penaja kepada tauke judi untuk membawa kes berkaitan isu lesen perjudian ke mahkamah.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ia susulan timbul dakwaan bahawa kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ungkapan ‘pecah perut’ ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Datuk Seri Sanusi kata dia tahu siapa sponsor tauke judi untuk bawa kes ke mahkamah, dia doakan orang yang sponsor tu ‘pecah perut’.

“Datuk Seri Sanusi juga minta Menteri Kewangan jangan lulus lesen judi. Takkanlah Menteri Kewangan yang merupakan tokoh pemimpin Islam terulung nak luluskan lesen judi.

“Memang beliau tak akan lulus jika perkara ini bawah kuasa beliau. Lulus lesen judi bukannya prinsip Madani,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya menjelaskan ungkapan ‘pecah perut’ yang disebut Sanusi bukan ditujukan kepada Anwar, sebaliknya menggambarkan kebencian terhadap tauke judi yang didakwa membiayai kes berkaitan usaha kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian.

Malah beliau menegaskan, orang ramai perlu mendengar keseluruhan ucapan Sanusi bagi memahami maksud sebenar kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu Ahmad Fadhli berkata, kenyataan Sanusi itu bagaimanapun kemudiannya dikaitkan dengan Anwar sehingga timbul dakwaan bahawa Naib Presiden Pas itu mendoakan Perdana Menteri ‘pecah perut’.

“Alih-alih timbul cerita Datuk Sanusi doakan Anwar pecah perut. Eh?Jadi siapa yang sponsor tauke-tauke judi tu?” ujarnya.

 

 

Scroll to Top