MSN Tegas Sokong Azizulhasni Awang, Nafi Dakwaan Tiada Perbincangan Olimpik 2028

MSN Tegas Sokong Azizulhasni Awang, Nafi Dakwaan Tiada Perbincangan Olimpik 2028

Majlis Sukan Negara (MSN) tampil menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Datuk Azizulhasni Awang, termasuk dalam perancangan beliau untuk meneruskan karier sehingga ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurut MSN, perkara itu sudah beberapa kali dibincangkan bersama Azizulhasni menerusi siri pertemuan dengan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta beberapa pegawai kanan agensi berkenaan.

Dah beberapa kali bincang perancangan LA2028

Malah, MSN berkata pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 7 Julai lalu bagi membincangkan laluan kelayakan Olimpik atau Olympic Pathway yang melibatkan pelumba kebangsaan.

Dalam perbincangan itu, keperluan Azizulhasni selaku antara peneraju utama pasukan negara untuk mengumpul mata kelayakan Olimpik turut diberikan perhatian.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN, turut dikatakan sentiasa mengambil tahu perkembangan Azizulhasni dan memberikan sokongan terhadap persiapan beliau.

MSN Tegas Sokong Azizulhasni Awang, Nafi Dakwaan Tiada Perbincangan Olimpik 2028

Azizulhasni sendiri belum muktamadkan perancangan

Terbaharu, pada pertemuan 13 Ogos lalu bersama Ketua Program Road to Gold (RTG), Akmal Ahmad Zainuddin, Ketua Program Podium, Halif Asro Ramzi Sulaiman serta Ketua Cawangan Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Izham Mohamad, Azizulhasni memaklumkan bahawa beliau sudah mula merancang persiapan untuk Olimpik 2028.

Bagaimanapun, ketika itu perancangan tersebut masih belum dimuktamadkan.

Antara perkara yang dibangkitkan Azizulhasni termasuk keperluan tambahan dalam aspek sokongan sains sukan dan perubatan, selain permohonan untuk terus menggunakan fasiliti MSN dan ISN bagi membantu beliau meneruskan latihan sebagai pelumba profesional.

Beliau juga membayangkan program latihan ke arah Olimpik 2028 akan dilaksanakan secara hibrid, iaitu membabitkan Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.

MSN setuju teruskan bantuan dan geran

Menurut MSN, semua permohonan tersebut dipersetujui dalam pertemuan berkenaan, termasuk beberapa permintaan tambahan.

Malah, cadangan pemberian geran kepada Azizulhasni juga akan diteruskan seperti amalan sebelum ini.

MSN turut bersetuju untuk menanggung penyertaan Azizulhasni dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan.

Taufiq bawa isu ke mesyuarat MSN

Perkara itu kemudiannya dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan ke Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos dan mendapat persetujuan semua ahli lembaga.

Susulan itu, MSN berkata satu emel telah dihantar kepada Azizulhasni pada 27 Ogos bagi memuktamadkan hasil perbincangan tersebut.

Menerusi emel berkenaan, Azizulhasni diminta mengemukakan pelan lengkap program serta anggaran perbelanjaan supaya MSN dapat menyediakan peruntukan yang diperlukan sepanjang kempen kelayakan Olimpik.

Antara perkara yang perlu dikemukakan termasuk pelan latihan dan pertandingan sehingga Olimpik 2028, sasaran prestasi dan laluan kelayakan Olimpik, pembahagian fasa latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne, keperluan jurulatih serta pasukan sokongan, sains sukan dan perubatan, fasiliti serta peralatan dan anggaran perbelanjaan tahunan.

MSN berkata langkah seterusnya hanya boleh dilaksanakan selepas pihaknya menerima pelan lengkap daripada Azizulhasni.

MSN terkejut kenyataan John Beasley

Dalam pada itu, MSN mengakui terkejut dengan kenyataan jurulatih John Beasley baru-baru ini yang mendakwa tiada sebarang perbincangan mengenai perancangan masa depan Azizulhasni dilakukan.

MSN menjelaskan bahawa dalam pertemuan 13 Ogos lalu, Azizulhasni sendiri bersetuju supaya pengumuman mengenai program latihan beliau ke Olimpik 2028 dibuat secara bersama oleh beliau dan MSN selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 18 Oktober 2026.

Menurut MSN, keputusan itu dibuat bagi memastikan fokus dan persiapan Azizulhasni tidak terjejas menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini.

“Sokongan MSN sentiasa teguh”

Bagaimanapun, susulan beberapa laporan media mengenai isu tersebut, MSN berkata pihaknya tiada pilihan selain tampil berkongsi fakta dan menjelaskan perkara sebenar.

MSN turut menegaskan bahawa dakwaan pihaknya tidak menghiraukan perancangan Azizulhasni atau tidak menghargai jasa serta sumbangan beliau kepada negara adalah tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, MSN menegaskan komitmen dan sokongan terhadap wira berbasikal negara itu kekal teguh sejak sekian lama, termasuk dalam usaha beliau memburu peluang untuk beraksi di pentas Olimpik Los Angeles 2028.


Scroll to Top