Liverpool: Victor Munoz muncul penyelamat Liverpool apabila menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan untuk membantu pasukan itu mengikat Nottingham Forest 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama Andoni Iraola di laman sendiri sebagai pengendali, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool masih perlu menunggu untuk mencatat kemenangan pertama liga musim ini selepas sekadar mengumpul dua mata daripada dua perlawanan.
Nottingham Forest hampir membawa pulang tiga mata penuh dari Anfield selepas Morgan Gibbs-White menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 untuk meletakkan pelawat di depan 2-1.
Penalti itu diberikan selepas penjaga gol Liverpool, Alisson, menjatuhkan Neco Williams di dalam kawasan penalti.
Bagaimanapun, pemain baharu Liverpool, Munoz, muncul wira apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-82 dalam penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama.
Pemain itu berpusing di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang yang terkena palang dan melantun masuk ke gawang Forest.
Forest terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Dan Ndoye pada minit ke-24 apabila penyerang Switzerland itu menyudahkan serangan balas pantas yang bermula dengan hantaran jauh penjaga gol, Matz Sels.
Morgan Gibbs-White kemudian melorongkan bola kepada Ndoye sebelum dia tenang menolak bola ke penjuru bawah gawang.
Liverpool sebenarnya menyaksikan jaringan Florian Wirtz pada babak pertama dibatalkan kerana ofsaid sebelum akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi Alexander Isak.
Cody Gakpo berjaya melepasi kawalan pemain lawan di sebelah kiri sebelum melakukan hantaran rendah melintasi gawang yang membolehkan Isak menolak bola ke gawang kosong selepas dua pemain pertahanan Forest gagal menyentuh bola.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool sekadar seri dalam dua perlawanan liga di bawah Iraola yang dilantik pada musim panas ini selepas kelab berkenaan mengakhiri musim lalu di tempat kelima di bawah kendalian Arne Slot.
© New Straits Times Press (M) Bhd
