KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei berhasrat mengembangkan Piala Lee Chong Wei ke peringkat antarabangsa dalam usaha menyediakan platform lebih berkualiti buat pemain di peringkat akar umbi.
Chong Wei berkata, selepas edisi sulung kejohanan itu yang berlangsung tahun ini, beliau menyasarkan untuk menganjurkan satu kejohanan tempatan dan satu kejohanan antarabangsa bagi peringkat remaja pada tahun depan.
Menurutnya, Piala Lee Chong Wei bukan sekadar mahu melahirkan bakat baharu, sebaliknya turut memberi pengalaman kepada pemain muda merasai sendiri suasana kejohanan bertaraf antarabangsa sebelum mereka melangkah lebih jauh dalam karier.
“Sepatutnya Piala Lee Chong Wei ini tahun lepas, tapi kita tangguhkan ke tahun ini sebab tidak mendapat masa yang sesuai dan kita perlu berbincang dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) supaya tidak bertindih dengan kejohanan remaja tempatan yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.
Chong Wei memberitahu, beliau mahu Piala Lee Chong Wei dianjurkan dengan standard tinggi, termasuk dari aspek pengurusan dan kemudahan pertandingan, bagi memastikan pemain muda mendapat gambaran sebenar mengenai suasana kejohanan antarabangsa.
Katanya lagi, setiap perincian termasuk penyediaan pasukan perubatan, papan kutipan mata serta susunan tempat duduk pemain dan jurulatih ketika rehat antara permainan diberi perhatian bagi mewujudkan suasana pertandingan yang lebih profesional.
“Saya dah datang dua hari lepas sebelum kejohanan bermula untuk tengok gelanggang dan pengurusan. Bagi saya, kalau nak buat sesuatu, biarlah buat betul-betul.
“Ini pengalaman tahun pertama saya. Saya nak bagi generasi muda rasa pengalaman selepas saya bersara. Sebelum ini saya dah cakap, saya nak pemain yang tidak dapat pergi kejohanan antarabangsa sekurang-kurangnya rasa suasana itu di sini.
“Ada orang cakap kejohanan di peringkat remaja tidak payah buat macam itu, tapi bagi saya, sekurang-kurangnya bila mereka pergi ke peringkat antarabangsa dua tiga tahun lagi, mereka dah ada pengalaman dan tidak terkejut dengan suasana itu,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan pemilihan tarikh kejohanan pada musim cuti sekolah dibuat secara sengaja bagi mengelakkan pemain muda terpaksa ponteng persekolahan.
Sementara itu, Chong Wei berkata, edisi sulung Piala Lee Chong Wei turut menjadi medan untuk menguji penggunaan format 15 mata yang disifatkannya sebagai satu pendekatan baharu dalam pertandingan di peringkat remaja di Malaysia.
“Kita nak uji format ini untuk persiapan tahun depan. Saya nampak ada beberapa pemain yang berbakat. Badminton ini sukan kemahiran. Kalau berbakat tapi tidak rajin pun tidak boleh, kalau rajin tapi tidak berbakat pun susah,” katanya.-UTUSAN
