am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pelumba muda, Farres Putra Mohd Fadhil sempat menunaikan solat Zuhur sebelum turun ke litar bagi menyertai perlumbaan yang akhirnya meragut nyawanya, hari ini.
Lebih menyentuh hati, pelumba berusia 18 tahun itu dikatakan memakai kopiah hitam dan berdoa agak lama selepas menunaikan solat, sesuatu yang jarang dilihat dilakukan arwah sebelum ini.
Rakan arwah, pelumba Petronas Yamaha Malaysia Motor, Nazrul Izad Muhammad Bahuddin, 26, berkata, arwah menunaikan solat Zuhur di sebelahnya sebelum perlumbaan.
“Saya terkejut sebab kali ini dia pakai kopiah hitam.
“Jarang saya tengok dia pakai kopiah ketika solat dan berdoa agak lama.
“Tidak tahu apa yang dia doakan, tetapi itu doa terakhir yang saya lihat dia lakukan,” kata ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, malam ini.
Nazrul Izad berkata, dia tidak melihat secara jelas apa yang berlaku ketika kejadian kerana memulakan perlumbaan dari petak ke-16, manakala arwah di petak ke 9.
Menurutnya, dia hanya menyedari sekurang-kurangnya tiga motosikal terjatuh sebelum semua pelumba memperlahankan motosikal masing-masing.
“Saya bermula di petak nombor 16 dan tidak nampak apa yang berlaku, cuma saya nampak tiga motosikal jatuh…. nampak agak teruk, tetapi tidak sangka sampai jadi begini,” katanya.
Menurutnya, ketika melalui kawasan kejadian, dia turut melihat motosikal milik Allahyarham Farres dan hanya mampu berdoa supaya rakannya itu selamat.
Katanya, perlumbaan bermula kira-kira jam 4.30 petang dalam keadaan litar kering dan cuaca baik.
Pelumba yang terbabit dalam sukan permotoran sejak berusia lapan tahun itu berkata, dia dan arwah cukup akrab walaupun berbeza usia lapan tahun.
Katanya, mereka sering bersama ketika menyertai perlumbaan di peringkat Asia kerana jumlah pelumba Malaysia yang menyertai kejohanan itu tidak ramai.
“Pelumba Malaysia yang berlumba di peringkat Asia tidak ramai.
“Jadi, kami selalu makan bersama-sama dan banyak luangkan masa bersama. Bagi kami, hubungan itu macam adik-beradik.
“Walaupun kali ini kami berlumba untuk pasukan berbeza, kami tetap akrab. Kami selalu jumpa dan berbual,” katanya.
Nazrul menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan permotoran negara.
Katanya, arwah bukan sahaja seorang yang baik, malah memiliki bakat besar dan masa depan cerah sebagai pelumba.
“Sikap arwah sangat baik. Dia masih muda, tetapi seorang yang sangat baik.
“Dalam sukan permotoran pula, dia sangat berpotensi dan menjadi antara pelumba muda yang mendapat sokongan Yamaha dan mempunyai masa depan yang cerah.
“Sebab itu pemergiannya sangat menyedihkan. Dia masih terlalu muda, berbakat dan kehilangan ini sangat besar,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua lagi pelumba daripada Castro Yuzy Racing Team turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di HSNZ, di sini.
Tragedi yang menimpa arwah turut mengimbau beberapa insiden maut membabitkan pelumba ketika perlumbaan Cub Prix sebelum ini.
Pada 2018, pelumba kelas CP150, Mohd Hafiz Nor Azman, maut selepas terbabit kemalangan ketika pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix di Bandar Penawar, Johor.
Setahun sebelumnya, pelumba veteran kelas CP150, Norizman Ismail, meninggal dunia susulan kemalangan ketika sesi ujian masa di Kijal, Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
