nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: “(Saya) perlu biasakan diri tengok mayat-mayat ini, kalau tak macam mana nak cari diorang (mereka)?
Demikian luahan Hani Othman, isteri Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe, ketika mengikuti proses pengecaman mayat di sebuah hospital di Nepal.
Hani yang kini berada di Kathmandu berkata, setakat ini tiada petunjuk mengenai suaminya dan anggota kumpulan berkenaan dikenal pasti menerusi proses itu.
“Setakat ini pengecaman mayat, tak jumpa tanda-tanda mereka. Tapi ngeri jugalah tengok (keadaan mayat).
“Sedih tengok mayat baby (bayi). But everyday (tapi setiap hari) mungkin ada new update (perkembangan baru) mengenai mayat yang dijumpai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Hani berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan yang masih gagal dihubungi selepas banjir melanda Nepal.
Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian dan tidak hanya menunggu perkembangan dari Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook sebelum ini, beliau berharap tiada seorang pun daripada mayat yang ditemukan itu adalah suaminya atau anggota kumpulan berkenaan.
Rakan serta kenalan Loe di Nepal turut membantu usaha pencarian, manakala kehadiran Hani di negara itu sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
Mohd Fakhrul Munir adalah antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas banjir kilat melanda Nepal, dengan usaha mengesan kumpulan itu masih diteruskan.
Kumpulan berkenaan dipercayai berada di sebuah lembah ketika banjir berlaku. Timbalan Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Mohd Sani Harul, turut dilaporkan hilang dalam ekspedisi sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd
