Korea Selatan : Pelakon drama Princess Hours, Lee Yong-joo dilaporkan meninggal dunia semalam, pada usia 44 tahun akibat serangan jantung secara mengejut.
Berita kematian Yong-joo dikongsi oleh seorang rakannya di media sosial dan perkara itu mengejutkan industri hiburan Korea Selatan kerana disifatkan berlaku tiba-tiba.
“Rakan saya, Lee Yong-joo telah meninggal dunia secara mengejut. Saya masih sukar mempercayai berita ini. ‘Ramai orang pasti mengingati Yong-joo dalam perjalanan terakhirnya,” tulis rakan Lee di akaun media sosialnya.
Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai kematian Yong-joo tidak dimaklumkan.
Malah, daripada sumber industri televisyen memaklumkan pelakon yang meraikan ulang tahun ke-44 pada 21 Ogos lalu itu dipercayai meninggal dunia semalam dan secara mengejut.
Usia mendiang yang dikatakan masih muda berakhir akibat serangan jantung tiba-tiba dan kehilangannya sangat mengundang rasa sedih mendalam pada kalangan rakan dan peminat.
Selain aktif berlakon, Yong-joo yang juga bekas model mula terbabit dalam kerjaya seni lakon dengan watak kecil dalam filem berjudul, Doma Ahn Jung-geun pada 2004.
Yong-joo kemudian mendapat peluang bina nama dalam drama menerusi Hello, Franceska pada 2005, diikuti Princess Hours, Blue Tower, Rude Miss Young-ae, Goong, Two Women’s Room, Blue Tower Returns dan banyak lagi.
Kenalan dan peminat yang ingin memberikan penghormatan terakhir buat Yong-joo disediakan satu bilik khas di dewan pengebumian Hospital Bundang Jesaeng di Seongnam, Wilayah Gyeonggi.
Upacara penghormatan terakhir buat Lee ini dijadualkan sehingga jam 6:30 pagi esok, sebelum upacara pengebumian berlangsung di Pusat Perkhidmatan Pengebumian Perbandaran Seongnam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
